KOTA KINABALU: Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan kenyataan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang mengajak rakyat Sabah menolak parti Malaya sebagai satu hasutan dan retorik murahan.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan itu hanya menjatuhkan kredibiliti beliau sendiri.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, Jeffrey yang juga Timbalan Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang berusaha menjadi hero di dalam gabungan tersebut namun, tidak berjaya.
“Adalah menjadi hak Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dan membawa aspirasi rakyat. Sejarah tidak pernah lupa bahawa Jeffrey juga pernah menjadi ahli BN suatu masa dulu.
“Kini, beliau (Jeffrey) sewenang-wenangnya menuduh orang lain sebagai pengkhianat sedangkan dia sendiri adalah pengkhianat terbesar di Sabah.
“Bukan hanya dikenali ramai sebagai pengkhianat dengan melompat parti malah, beliau mengkhianati darah daging sendiri apabila beliau melawan abangnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu kerana ketamakkan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bung Moktar berkata, Jeffrey harus fokus kepada perkara lebih besar dan utama dalam GRS iaitu skandal rasuah yang tular melibatkan Ketua Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS.
Momokkan ‘Rumah kita, kita jaga’ yang dilaung-laungkan GRS adalah satu penghinaan kepada rakyat Sabah kerana rumah yang mereka jaga hampir musnah kerana perbuatan meminta dan menerima rasuah.
Jelas beliau, rakyat Sabah melihat skandal rasuah yang melibatkan anggota Kabinet Negeri seakan-akan satu sindiket untuk mencuri dan menipu rakyat.
Sebelum ini, Jeffrey dalam ucapannya semasa program GRS mengajak anggota gabungan berkenaan untuk menghalau parti Malaya keluar dari Sabah. – UTUSAN










