50 pelajar naik bot ke sekolah - Utusan Malaysia

50 pelajar naik bot ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kejadian banjir yang menenggelamkan jambatan di Kampung Limau Kasturi dan Kampung Serian di sini, memaksa lebih 50 murid dan pelajar di situ menggunakan bot sebelum menaiki kenderaan untuk ke sekolah.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap, Nur Fatin Hanina Muhd. Naim, 17, berkata, situa­si tersebut menjadi rutin setiap kali banjir selepas jambatan yang menjadi laluan utama keluar masuk ke perkampungan itu ditenggelami air.

“Kami sudah biasa dengan situasi ini kerana hampir setiap tahun melaluinya. Cuma berbeza tahun ini, saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Untuk SPM, saya tidak tinggal di asrama kerana lebih selesa belajar di rumah. Sebagai persediaan saya menggunakan pelbagai sumber untuk mengulang kaji pelajaran termasuk telefon pintar bagi mendapatkan maklumat tentang subjek yang perlu diulangkaji,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang ibu, Siti Zakiah Hus­sin, 45, berkata, setiap tahun murid dan pelajar yang tidak tinggal di asrama terpaksa menaiki bot apabila banjir melanda.

Katanya, ada juga pelajar yang tidak hadir ke sekolah ke­rana enggan mengambil risiko menaiki bot.

“Penduduk Kampung Serian dan Kampung Limau Kasturi sudah lali dengan situasi banjir yang melanda jalan perhubungan kami.

“Anak-anak kecil sudah terbiasa apabila terpaksa menaiki bot sekiranya hujan berlarutan yang mengakibatkan banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN