KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan, ada usaha memujuk Barisan Nasional (BN) untuk keluar Kerajaan Perpaduan dengan menawarkan jawatan Perdana Menteri.
Pengerusi BN itu mendedahkan, wujud usaha baharu oleh pihak tertentu untuk mengganggu kestabilan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun Ahmad Zahid tidak memperincikan lebih lanjut pihak yang membuat tawaran tersebut.
“Ada yang menawarkan kononnya mahu menggantikan kerajaan sedia ada dan mahu melontarkan (mencadangkan) kita sebagai PM.
“Saya cakap don’t waste time (jangan buang masa), marilah kita memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan yang sedia ada ini.
“Jawapan saya tegas kerana saya tidak akan mengkhianati kawan. Itu pegangan saya walaupun ramai kawan mengkhianati saya.
“Dalam politik jangan naik, jangan pijak kepala orang. Jika kita pijak orang lain, ingat satu hari nanti apabila kita berada di atas, orang lain akan pijak kita untuk turun dengan hina,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Konvensyen BN Wilayah Persekutuan 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, semalam.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri juga mendedahkan terdapat Ahli Parlimen pembangkang bertemu dengan beliau minggu lalu untuk membentuk jajaran baharu Kerajaan Perpaduan.
Katanya, mereka juga meminta empat jawatan menteri jika perkara tersebut dapat direalisasikan.
“Minggu lepas, ada ahli Parlimen mereka datang berjumpa saya.
“Apa mereka tawarkan? Mereka kata marilah kita bersama untuk membentuk kerajaan baharu di bawah panji-panji Kerajaan Perpaduan, kami mahu masuk semula, berilah kami empat menteri,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, situasi itu menunjukkan pembangkang semakin lemah dan mahu mendapatkan kedudukan sebagai menteri.
“Adakah pembangkang cukup kuat? Saya beritahu makin lemah. Ada kalangan mereka pernah jadi menteri, timbalan menteri, menjadi kerajaan.
“Ini kerana mereka sudah merasai kenikmatan menteri (sebelum ini),” katanya. – UTUSAN










