ANKARA: Turkiye menolak permohonan Presiden Israel, Isaac Herzog menggunakan ruang udaranya bagi penerbangan beliau menuju ke Baku, Azerbaijan, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Perubahan Iklim COP29.
Menurut pihak berkuasa, pihak Israel membuat permohonan agar pesawat Herzog dibenarkan melintasi ruang udara Turkiye dalam perjalanan ke Sidang Kemuncak Perubahan Iklim PBB ke-29.
Namun, permohonan itu ditolak oleh pihak berkuasa Turkiye.
Pada Sabtu, Herzog mengumumkan pembatalan penyertaannya dalam sidang tersebut atas alasan kebimbangan keselamatan, menurut kenyataan dari pejabatnya.
Hubungan antara Turkiye dan Israel merosot sejak serangan keganasan terhadap Gaza pada Oktober 2023 dan Rabu lalu, Presiden Recep Tayyip Erdogan mengumumkan negaranya memutuskan hubungan dengan Tel Aviv.
Walaupun kerajaan Turkiye secara rasmi menarik balik duta besarnya pada tahun lalu untuk tujuan perundingan, misi diplomatik Turkiye di Tel Aviv masih kekal beroperasi dan dibuka.
Begitu juga Israel sudah mengosongkan kedutaannya di Ankara tahun lalu, dengan alasan ancaman keselamatan di rantau itu.
Serangan tersebut meragut hampir 43,800 nyawa dan menjadikan kawasan Gaza hampir tidak boleh dihuni.
Israel juga berdepan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tindakan mereka di Gaza.– AGENSI










