KUALA TERENGGANU: Terengganu yang terkenal dengan industri produk kraftangan berasaskan tembaga sejak abad ke-19 kini berada di ambang kemerosotan dan bakal terkubur apabila jumlah legasi baharu yang berminat meneruskan warisan pertukangan tembaga itu semakin berkurangan.
Industri tembaga yang dihidupkan golongan istana pada era pemerintahan Sultan Omar pada tahun 1839 hingga 1876, tidak akan dapat diselamatkan sekiranya tiada tindakan segera diambil untuk mengangkat semula kemasyhuran kraftangan tersebut.
Tukang tembaga diiktiraf sebagai ‘seniman istana’ ini semakin tidak popular dalam kalangan generasi muda kerana terdapat banyak pekerjaan lain yang lebih selesa dan menawarkan gaji lebih lumayan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pengusaha tembaga, Shaiful Sani Zakaria, 40, berkata, kini hanya tinggal dia seorang tukang tembaga yang berusia muda berbanding tiga pengusaha lain berumur 60 tahun ke atas.
“Saya bimbang industri tembaga terus suram sekiranya tiada pewaris muda berminat meneruskan kemahiran ini,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Pusat Inkubator Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Chendering di sini, semalam.
Sekitar 1980-an, industri tembaga rancak dengan lebih 100 orang pengusaha tembaga beroperasi di Kampung Ladang dan Kampung Tanjung, namun jumlahnya ketika ini hanya empat orang sahaja termasuk Shaiful.
Pemilik SA Unique Craft ini berkata, permintaan terhadap produk berasaskan tembaga tinggi di pasaran kerana memiliki peminat.
Malah, dia tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan dari seluruh negara.
Antara laris di pasaran adalah peralatan dapur dan aksesori seperti periuk, kuali dan acuan kuih serta tepak sirih, keris dan gong yang dijual pada harga antara RM20 hingga RM48,000 seunit,” ujarnya.
Pengusaha tembaga, Salleh Mohd., 80, antara warga emas yang cekal meneruskan legasi seni pertukangan tembaga yang dipelajari daripada bapanya, Mohd. Yusof sejak usianya belasan tahun lagi.
Katanya, walaupun ramai rakan seperjuangannya berhenti awal dalam bidang pertukangan tembaga, namun semangat dan kecintaan terhadap seni kraftangan itu tetap membara dan tidak pernah terpadam.
Kecintaan terhadap seni itu dibuktikan dengan pembukbengkel tembaga di kawasan seluas kira-kira 0.81 hektar di Pulau Kerengga, Marang pada tahun 2013.
Salleh yang diiktiraf sebagai Adiguru Tembaga oleh Jabatan Warisan Negara pada tahun 2009, berkata, jabatan dan agensi kerajaan terlibat perlu mengambil inisiatif menyelamatkan industri tembaga daripada lenyap di bumi Terengganu.
“Tumpuan harus diberikan untuk menggalakkan lebih ramai generasi muda melibatkan diri dalam pertukangan besi agar seni warisan itu dapat dipertahankan,” ujarnya.










