BEIRUT: Tentera Israel memberi amaran kepada orang awam supaya tidak menghampiri 10 kampung di bahagian selatan negara, ketika gencatan senjata antara Israel dan Lubnan memasuki hari kedua.
Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee dalam kenyataan, menyenaraikan kampung tersebut dan memberi memberi amaran supaya orang awam tidak kembali ke kawasan itu sehingga diberitahu kelak.
Beliau melampirkan peta pada mesej di X yang menunjukkan senarai kampung dilarang, termasuk Sheba, Hebbariyah, Marjaayoun, Yohmor, Baraachit dan lain-lain.
Adraee memberi amaran sesiapa yang melepasi garisan akan meletakkan dirinya dalam bahaya.
Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Lubnan berkuat kuasa awal semalam, untuk menamatkan lebih 14 bulan pertempuran antara tentera rejim dan Hezbollah.
Menurut syarat gencatan senjata, Israel akan mengundurkan tenteranya di selatan Garis Biru secara berperingkat, manakala tentera Lubnan mengerahkan anggota di selatan dalam tempoh tidak melebihi 60 hari.
Pelaksanaan perjanjian itu akan diawasi oleh Amerika Syarikat (AS) dan Perancis.
Bagaimanapun, butiran mengenai mekanisme penguatkuasaan masih tidak jelas.- ANADOLU










