KANGAR: Keadaan hampir keseluruhan pintu pagar keselamatan di sempadan Malaysia Thailand khususnya di negeri ini yang uzur, berlubang dan rosak dikhuatiri memberi ancaman besar kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
Keadaan itu membabitkan laluan keselamatan di sesetengah kawasan di sepanjang 98.2 kilometer (km) sempadan Perlis terutama dari Chu ping, Padang Besar sehingga Pos Bukit Batu Putih, Kuala Perlis.
Sementara 45km dari garisan sempadan tersebut pula tidak memiliki tembok atau pagar keselamatan susulan keadaan muka bumi yang berbukit bukau dan hutan tebal.
Kebanyakan pagar sempadan di sekitar negeri ini difahamkan sudah berusia lebih 30 tahun yang perlu diganti segera dengan tembok kekal berikutan sering kali dirosakkan oleh sindiket penyeludupan.
Pagar sempadan yang rosak juga menjadi antara punca meningkatnya aktiviti pembolosan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan barangan terlarang seperti dadah serta ketum di sempadan Malaysia-Thailand.
Meskipun pemantauan ketat sentiasa dilaksanakan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertanggungjawab membanteras aktiviti jenayah di sekitar laluan berkenaan, namun keadaan tersebut bakal menyukarkan tugasan pasukan keselamatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam berkata, masalah pagar atau laluan keselamatan uzur bukan sahaja di Perlis malah dipercayai lebih teruk di Kedah, Perak dan Kelantan.
Katanya, Malaysia berdepan masalah sempadan sangat mudah ditembusi yang menjadi sasaran penyeludup melakukan aktiviti atau jenayah rentas sempadan.
“Situasi ini perlu dipandang serius oleh kerajaan sama ada membaik pulih pintu pagar atau membina tembok keselamatan yang baharu. Keadaan pintu pagar uzur yang kita ketahui di Perlis, itu tidak termasuk Kedah, Kelantan dan Perak lagi.
“Ia mengundang kepada pelbagai aktiviti jenayah seperti penyeludupan manusia dan pelbagai aktiviti seludup lain yang agar sukar untuk anggota penguat kuasa mengawal dan membasmi secara keseluruhan.
“Isu sempadan ini agak serius yang kita tidak boleh kompromi kerana ia melibatkan ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara. Keadaan pintu pagar keselamatan ini perlu sentiasa dipantau dan dibaik pulih jika rosak atau sudah terlalu uzur,” ujarnya.
Pada 2015, Perlis pernah digemparkan dengan kes penemuan penempatan sementara dan kubur besar 139 mayat di Bukit Wang Burma, Wang Kelian dekat sini yang pernah menjadi isu pemerdagangan manusia terbesar dalam sejarah negara.
Dalam kes pemerdagangan manusia yang menjadi sejarah hitam itu, lebih 100 rangka manusia ditemukan di kawasan kubur berkenaan dipercayai etnik Rohingya.
Selain itu, kawasan sempadan negeri ini juga sering menjadi tumpuan penyeludupan daun ketum selain dadah serta pelbagai lagi aktiviti jenayah rentas sempadan lain.
Sementara itu, Mohd. Mizan berkata, kerajaan juga perlu menyediakan kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh diakses semua pihak seperti di lebuh raya yang mana semua boleh memantaunya.
“Meskipun ia nampak agak radikal, namun sekurang-kurang rakyat boleh menjadi mata dalam dalam membantu pihak berkuasa berhubung isu jenayah rentas sempadan ini,” katanya
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia bersama Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim di laluan keselamatan sempadan darat sekitar negeri ini selama enam jam dari pukul 8 pagi hingga 2 petang baru-baru ini mendapati kebanyakan pagar berada dalam keadaan uzur dan berkarat.
Meskipun pagar rosak dan usang tersebut diganti, namun ia tetap berulang kali dirosakkan oleh sindiket penyeludupan menyebabkan pemantauan ketat perlu dilaksanakan PGA.
Malah beberapa pagar berlubang dipercayai digunting oleh sindiket penyeludupan.
Berdasarkan pemerhatian, pagar turut dipenuhi semak samun yang sedikit sebanyak menyukarkan tugas pemantauan.
Selain itu, kedudukan pagar keselamatan hanya kira-kira 20 meter dari laluan awam di negara jiran.
Kerosakan pagar turut menyebabkan anggota PGA terpaksa menutup kembali dawai dirosakkan dengan pelbagai kaedah termasuk menghalang laluan dengan pintu tandas jenis polivinil klorida (PVC) lama yang rosak sebagai usaha jangka pendek mengelak pembolosan atau pencerobohan ke negara ini dari Thailand.
Muhammad berkata, kawasan pagar berduri dianggarkan sepanjang 26.69km yang kebanyakannya sudah uzur.
Ujar beliau, kerja naik taraf atau penggantian pagar keselamatan adalah di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Keadaan tersebut menjadi cabaran buat Polis Perlis bersama PGA untuk melakukan pemantauan. Meskipun ada kawasan sempadan negeri ini berpagar, namun masih lagi berlaku kebocoran disebabkan oleh tindakan penyeludup yang merosakkan pagar untuk menembus masuk ke negara ini.
“Kebanyakan sindiket akan bertindak menebuk lubang pada pagar berkenaan dan mereka turut merentasi laluan keselamatan di mana terdapat ahli kumpulan lain akan menunggu bersama kenderaan di sebelah sempadan Malaysia. Tindakan menebuk pagar berkenaan sememangnya sentiasa berlaku dan kita terpaksa menutup sementara lubang tersebut dengan dahan kayu, serpihan pintu atau kawat duri sebagai langkah jangka pendek,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad berkata, Polis Perlis dan PGA sebelum ini juga telah menyediakan laporan berhubung status semasa pagar tersebut bersama cadangan penambahbaikan bagi membolehkan langkah seterusnya diambil pihak bertanggungjawab.
Tambah beliau, jika isu pengukuran batu sempadan Malaysia-Thailand sudah diselesaikan, dicadangkan pagar keselamatan dinaik taraf menjadi tembok dengan ketinggian kira-kira 4.6 meter bagi mengurangkan risiko pembolosan atau ketirisan.
“Apabila perkara ini dapat direalisasikan, kita boleh tempatkan pemantauan secara mekanikal menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi sistem CCTV atau penggunaan dron di sekitar kawasan laluan keselamatan ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sindiket penyeludupan turut menyasarkan aset lain seperti CCTV yang kebanyakan sengaja dirosakkan dengan dilastik dari kawasan sebelah Thailand.
“Daripada 40 CCTV yang ada di kawasan itu, sembilan daripadanya rosak akibat perbuatan sabotaj seperti melastik dan kecurian kabel elektrik yang menyebabkannya tidak berfungsi dengan baik dalam merakam pencerobohan ke dalam negara ini.
“Selain aset, anggota PGA yang bertugas di beberapa pos kawalan di laluan keselamatan itu juga terdedah kepada serangan provokasi sindiket penyeludupan ini. Ada antara pos kawalan diserang dengan balingan mercun dari kawasan negara jiran, malah ada juga dilastik dan semua serangan ini dilihat cuba untuk menimbulkan provokasi.
“Walaupun dengan fasiliti serba kekurangan, PGA tetap meneruskan tugas secara profesional dalam memastikan kedaulatan negara tetap terpelihara meskipun berdepan risiko bertempur dengan penyeludup yang mempunyai senjata api,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Izizam Ibrahim berkata, kerajaan negeri telah beberapa kali membuat permohonan kepada MKN bagi membaik pulih struktur pagar di laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand yang berada dalam keadaan uzur dan usang.
Menurutnya, sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga pernah membentangkan laporan keadaan pagar-pagar di laluan keselamatan yang memerlukan penambahbaikan segera.
Beliau berkata, proses penambahbaikan pagar keselamatan itu perlu dilaksanakan selari dengan pembangunan projek-projek lain yang sedang rancak dijalankan di kawasan berkenaan seperti Projek Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dan Projek Pembangunan Lembah Chuping (CVIA). – UTUSAN










