BEIRUT: Puluhan ribu rakyat Lubnan yang kehilangan tempat tinggal akibat perang antara Israel dan Hezbollah kembali ke bandar serta kampung mereka yang musnah, selepas gencatan senjata berkuat kuasa semalam.
Di bawah syarat perjanjian yang menghentikan perang, tentera Lubnan mula mengukuhkan kehadirannya di selatan negara itu, kawasan yang sejak lama dikuasai Hezbollah.
Perang memuncak selepas hampir setahun serangan rentas sempadan dilancarkan Hezbollah bagi menyokong sekutunya, Hamas di Gaza.
Peperangan itu meragut ribuan nyawa di Lubnan dan menyebabkan pemindahan besar-besaran di kedua-dua belah sempadan.
Israel mengalihkan tumpuannya dari Gaza ke Lubnan pada September untuk mengamankan sempadan utaranya daripada serangan Hezbollah, menyebabkan kumpulan itu terjejas teruk.
Serangan Israel menyebabkan ramai pemimpin Hezbollah terkorban, termasuk Setiausaha Agungnya, Hassan Nasrallah.
Hezbollah dalam kenyataan semalam, mengisytiharkan kemenangan ke atas Israel susulan kejayaan gencatan senjata itu.
“Kemenangan daripada Tuhan yang Maha Kuasa adalah sekutu kepada perjuangan yang benar,” kata Hezbollah.
Ahli Parlimen Hezbollah, Hassan Fadlallah memberitahu AFP, kumpulannya bekerjasama dalam penempatan tentera Lubnan di selatan negara.
Jalan dari ibu negara Lubnan ke selatan sesak sejak sebelum subuh dengan ribuan orang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka.
Wartawan AFP melaporkan, kereta dan van dipenuhi dengan orang ramai yang membawa tilam, beg pakaian serta selimut, dengan sebahagian mereka membunyikan hon serta menyanyi tanda gembira.
Di Lubnan, lebih 900,000 orang meninggalkan rumah mereka sejak Israel menyerang negara itu, menyasarkan kubu kuat Hezbollah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).










