MARANG: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dari Kampung Bukit Kulim, dekat sini kini memikul tanggungjawab menjaga ibu kandungnya yang diserang angin ahmar sejak 20 Oktober lalu.
Fiqball Iman Firdaus merupakan anak tunggal Ramlah Andot, 51, berkata, serangan itu menyebabkan tangan sebelah kiri ibunya lumpuh, selain keupayaan pergerakan terhad.
Menurutnya, dia ‘berkampung’ di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu menguruskan ibunya yang menerima rawatan selama seminggu di hospital berkenaan selepas diserang angin ahmar.
“Ma (Ramlah) ajar saya melakukan kerja-kerja mengurus rumah dan saya sudah biasa bantunya. Hubungan kami begitu rapat kerana cuma tinggal berdua setelah ibu bapa saya berpisah ketika saya berumur tiga tahun.
“Sebelum ini, kami menyewa di Tok Randok, Ajil. Ma bekerja sebagai pembantu tukang masak dewan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Ajil (SMK), Hulu Terengganu dan saya pula tinggal di asrama.
“Selepas Ma sakit kami terpaksa pindah ke sini, kampung asal Ma. Sebagai anak saya akan jaga ibu walaupun berjauhan dengan kawan baik dantiada lagi kawan-kawan sepermainan dikenal sejak kecil,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Fiqball Iman yang kini belajar di SMK Pengkalan Berangan, Marang, bagaimanapun bersyukur kerana ahli keluarga ibunya sentiasa membantu termasuk daripada segi kewangan, makan minum dan sokongan moral.
“Saya akan belajar bersungguh sungguh demi ibu sekaligus mencapai cita-cita menjadi doktor.
Sementara itu, Ramlah berkata, impiannya untuk terus bekerja menyara kehidupan mereka berdua tidak kesampaian.
“Saya tidak pernah pohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum ini walaupun bergelar ibu tunggal kerana rasa masih mampu bekerja lagi.
“Sekarang saya dalam tempoh diberikan cuti oleh majikan sehingga 25 November ini. Dengan keupayaan fizikal yang terhad, saya tidak pasti selepas ini mampu bekerja lagi atau sebaliknya,” katanya.










