DUBAI: Raja Jordan, Raja Abdullah II dan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed mengadakan perbincangan semalam, merangkumi usaha antarabangsa untuk memastikan gencatan senjata di Gaza dan Lubnan.
Kedua-dua pemimpin itu bertemu di Abu Dhabi ketika Amerika Syarikat (AS) menggunakan veto untuk menolak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang bertujuan menghentikan perang Israel di Gaza.
Manakala, diplomat bergerak antara Baitulmuqaddis dan Beirut untuk cuba mengakhiri serangan Israel di Lubnan.
Sheikh Mohamed dan Raja Abdullah menegaskan kepentingan meningkatkan usaha untuk mendapatkan gencatan senjata di Gaza dan Lubnan, memastikan perlindungan penuh orang awam mengikut undang-undang antarabangsa serta memberikan sokongan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas, lapor agensi berita rasmi UAE, WAM.
Mereka juga menegaskan UAE dan Jordan teguh dalam menyokong perpaduan, kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan, selain menyatakan solidariti terhadap rakyat negara itu.
Hampir 44,000 orang terbunuh di Gaza sejak Israel melancarkan serangan pada 7 Oktober 2023.
Konflik itu meluas kepada perang di Lubnan sejak September, di mana pengeboman Israel terhadap Hezbollah membunuh lebih 3,500 orang.
UAE dan Jordan, kedua-duanya mempunyai hubungan dengan Israel, sangat mengkritik serangan ketenteraan rejim dan penderitaan yang berlaku di wilayah itu.
Dalam pertemuan itu, Sheikh Mohamed dan Raja Abdullah menyuarakan kebimbangan terhadap risiko konflik merebak ke negara lain di rantau tersebut.
“Pemimpin menekankan keperluan untuk mencegah konflik di Asia Barat daripada terus meningkat, kerana ia menimbulkan ancaman kepada keselamatan dan kestabilan serantau.
“Mereka juga menekankan kepentingan mewujudkan jalan ke arah keamanan yang adil, menyeluru dan berkekalan berdasarkan penyelesaian dua negara yang menjamin keselamatan serta kestabilan untuk semua,” lapor WAM.
Raja Abdullah terbang ke Abu Dhabi pada pagi Rabu untuk pertemuan itu, bersama Perdana Menteri Jordan, Jafar Hassan dan Menteri Luar, Ayman Safadi.
UAE dan Jordan menggerakkan operasi bantuan besar untuk membantu mengurangkan penderitaan di Gaza dan Lubnan.
Minggu lalu, empat konvoi trak yang membawa 605 tan bantuan dari UAE berjaya sampai ke Gaza melalui persimpangan Rafah dengan Mesir.– AGENSI











