SEPANG: Penduduk di 4,619 lokasi berisiko banjir di seluruh negara diminta berjaga-jaga dan sentiasa bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan berikutan bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) sejak Selasa lalu.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, ini termasuk peka terhadap maklumat cuaca terkini, bersedia untuk berpindah, meletakkan barang dan dokumen penting di tempat selamat dan mengikut arahan pihak berkuasa.
Beliau berkata, daripada 4,619 lokasi berisiko banjir itu, sebanyak 3,605 kawasan berada di Semenanjung, 799 di Sabah, 201 di Sarawak dan 14 lokasi di Labuan.
SIAP SIAGA
Katanya, sejumlah 82,794 anggota melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berada dalam keadaan siap siaga bagi memberikan bantuan kepada mangsa banjir.
“Persediaan menghadapi MTL dilakukan sepanjang tahun melibatkan pelbagai agensi, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat.
“Setiap kali musim MTL berakhir, kami akan melakukan sesi pascanilai untuk melihat perkara yang perlu ditambah baik.
“Salah satunya adalah daripada segi perkongsian maklumat yang sebelum ini kami dapati tidak selaras antara agensi kerajaan dan NGO sehingga menimbulkan isu berkenaan pemberian bantuan,” katanya ketika ditemui di Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) Pulau Meranti, di sini semalam.
MANGSA
Khairul Shahril berkata, sebanyak 8,481 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menempatkan 2,158,743 mangsa disediakan di seluruh negara.
“60 peratus PPS akan menggunakan bangunan sekolah, 29 peratus di balai-balai raya, enam peratus di masjid dan selebihnya di pusat komuniti setempat,’’ katanya.
Mengenai pembinaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB), beliau berkata, tempoh masa yang lebih panjang diperlukan untuk menentukan aspek teknikal dan pembinaan melibatkan agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi melihat kesesuaian reka bentuk dan kawasan.
“Proses tersebut mungkin mengambil masa satu sehingga satu setengah tahun kerana ia membabitkan proses yang banyak, selain perlu memenuhi kriteria tertentu seperti kesesuaian tapak dan jumlah penduduk yang boleh dimuatkan di satu-satu pusat pemindahan,’’ katanya. – UTUSAN










