PETALING JAYA: Jabatan Penjara Malaysia dan City University Malaysia menjalinkan kerjasama menerusi Program Transformasi Kehidupan serta Keusahawanan, khusus untuk banduan di negara ini.
Naib Canselor City University Malaysia, Prof Dr Rosnizah Shaari berkata, program ini memberi ruang kepada banduan khususnya di Penjara Bentong untuk mempelajari kemahiran baharu.
Katanya, kerjasama dan program yang diadakan sekaligus dapat membantu prospek di penjara mempersiapkan diri apabila dibebaskan kelak.
“Program ini dapat mengembalikan keyakinan, harapan dan peluang kedua kepada mereka yang sedang berusaha membina masa depan yang lebih baik.
“Justeru, City University Malaysia melaksanakan program ini dengan sokongan strategik Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Dr Rosnizah berkata, program ini dibangunkan berteraskan enam komponen utama iaitu Pembangunan Diri, Pengurusan Kewangan, Komunikasi Profesional, Penjenamaan Produk, Keusahawanan Digital dan Perancangan Masa Depan.
“Melalui modul-modul ini, para prospek bukan sahaja dibimbing untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran baharu, malah dibentuk menjadi individu yang lebih berkeyakinan, berdisiplin serta bersedia untuk kembali menyumbang kepada keluarga dan masyarakat selepas dibebaskan,” jelas beliau.
Katanya, sepanjang program berlangsung, para prospek mengikuti sesi pembelajaran secara interaktif bersama pensyarah dan mentor City University Malaysia yang merangkumi pembangunan sahsiah, pengurusan kewangan, literasi digital, komunikasi profesional, asas keusahawanan, inovasi serta bimbingan berterusan.
“Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen University Social Responsibility (USR) City University Malaysia dalam memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti serta menyokong SDG 4 ‘Matlamat Pembangunan Mampan’ dan SDG 10 iaitu ‘Mengurangkan Ketaksamaan, “jelasnya.-UTUSAN










