BAITULMUQADDIS: Ketua Staf kepada Perdana Menteri Israel, Tzachi Braverman sedang disiasat polis kerana didakwa mengubah dokumen berkaitan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, untuk memperbaiki imej Benjamin Netanyahu.
Braverman, antara penasihat terdekat Netanyahu, disoal siasat oleh unit jenayah utama Lahav 433 polis Israel selama lebih lima jam pada Khamis.
Tuduhan itu tertumpu kepada dua panggilan telefon yang diterima Netanyahu ketika serbuan rentas sempadan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Braverman disyaki mengubah masa yang didokumenkan apabila Netanyahu pertama kali menerima kemas kini mengenai serangan tersebut melalui panggilan telefon daripada Setiausaha Tentera ketika itu, Mejar Jeneral Avi Gil.
Beliau dituduh mengubah masa daripada pukul 6.40 kepada 6.29 petang (waktu tempatan).
Bagaimanapun, Braverman menafikan ada mengubah transkrip panggilan, selain daripada mengubah masa berkenaan.
Walaupun Gil menelefon Netanyahu pada pukul 6.29 petang ketika serangan Hamas bermula, Netanyahu tidak memberikan sebarang arahan, sebaliknya memberitahu untuk menelefon semula dalam 10 minit, pada 6.40 petang, lapor akhbar Haaretz.
Menurut laporan, Braverman didakwa mengubah masa panggilan telefon kedua seolah-olah yang pertama, ketika Netanyahu mengarahkan Gil untuk melakukan penilaian situasi mengenai serangan pejuang Hamas.
Berdasarkan dakwaan, beliau mengubah masa panggilan untuk memberikan gambaran konon Perdana Menteri bertindak segera dan tegas ketika serangan tercetus.
Braverman menafikan dakwaan tersebut.
Serangan pada 7 Oktober merupakan kegagalan ketenteraan dan perisikan terbesar dalam sejarah Israel.
Beberapa pegawai kanan tentera meletak jawatan berikutan kejadian tersebut, manakala Netanyahu secara konsisten menafikan sebarang kegagalan peribadi.– BBC










