JOHOR BAHRU: Pembeli sebuah pangsapuri di Bandar Seri Alam, dekat sini menuntut pemaju mematuhi arahan pembayaran pampasan dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan bukannya menawarkan untuk membayar 30 peratus daripada pampasan yang sepatutnya diperoleh.
Pembeli, D. Prathyuuma, 33, berkata, projek dimulakan pada 2017 itu sepatutnya siap pada Mac 2021, namun tertangguh beberapa kali akibat pelbagai isu.
TTPM memerintahkan pembayaran pampasan antara RM10,000 hingga RM40,000 kepada pembeli mengikut tarikh pembelian unit kediaman itu.
“Hingga kini pemaju masih enggan membuat pembayaran pampasan, sebaliknya menawarkan pembayaran sebanyak 30 peratus daripada jumlah sepatutnya yang mana rata-rata pembeli tidak bersetuju kerana berasakan tawaran itu tidak adil,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Prathyuuma berkata, pembeli terpaksa membayar ansuran bulanan sebanyak RM1,900 kepada bank walaupun kediaman tersebut belum sesuai untuk didiami meskipun penyerahan kunci telah dibuat.
Pengerusi Pertubuhan Prihatin dan Cinta Malaysia, Syed Othman Syed Abdullah memaklumkan, pihaknya akan menyerahkan memorandum pembeli kepada wakil rakyat dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan minggu depan.










