JERANTUT: Impak kemalangan pada 11 Disember tahun lalu, menyebabkan seorang pemandu van tidak mampu bekerja selama sembilan bulan dan terpaksa bergantung hidup pada sumber pendapatan tidak seberapa isterinya.
Mohd. Pareff Pazin, 48, berkata, dia dan isteri, Farizal Ghazali, 46, yang hanya berniaga kecil-kecilan berdepan masalah kewangan untuk belanja barang keperluan dapur dan persekolahan anak.
“Selepas kemalangan saya tidak boleh berjalan, bangun dan berdiri akibat kecederaan teruk dan patah kaki kanan,” katanya.
Kemalangan berlaku di lebuh raya berdekatan Temerloh ketika dia hendak pergi kerja di Mentakab.
Akibat kecelakaan itu, dia dirawat seminggu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hosas) Temerloh.
“Saya berulangalik dari rumahnya di Felda Jengka 15 ke Hosas bagi rawatan susulan,” katanya selepas menerima replika cek Faedah Hilang Upaya Kekal bernilai RM48,848 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pahang, disampaikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dalam satu majlis di Hotel Darulmakmur di sini.
Mohd. Pareff berkata, dalam tempoh tidak bekerja mereka berjimat dan wang pendapatan isterinya dibelanjakan cuma untuk perkara penting seperti keperluan dapur, persekolahan empat orang anaknya di samping pengangkutan pergi dan balik bagi rawatan susulan di Hosas.
“Saya tidak menyangka apabila dipanggil (diberitahu) oleh pegawai Perkeso Pahang untuk menerima inisiatif Faedah Hilang Upaya Kekal sebanyak RM48,848 menerusi hasil caruman majikan tempat saya bekerja sebelum ini.
“Tidak terungkap dengan kata-kata, hanya mampu bersyukur dan berterima kasih kepada majikan dan Perkeso yang meringankan beban penderitaan saya selama ini,” katanya.
Bantuan diperolehi akan digunakan untuk menampung perniagaan isteri di samping menabung untuk menghadapi hal kecemasan dan persekolahan anak.










