BUKIT MERTAJAM : Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyebabkan kematian seorang kerani wanita dalam satu kemalangan ngeri, Rabu lalu.
Marhizan Johari, 51, membuat pengakuan tersebut ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga orang anak itu didakwa telah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian orang awam iaitu seorang pemandu Volvo, Lee Zi Rou, 21.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 9.30 pagi, 13 November lalu di Jalan Kebun Sireh, Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT).
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000.
Tertuduh juga berdepan kemungkinan hilang kelayakan untuk memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan manakala tertuduh hadir tanpa diwakili peguam.
Terdahulu, ketika prosiding, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan kes itu mendapat liputan meluas di media-media sosial.
Tertuduh juga dilihat tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah atas perbuatannya hingga sanggup menunjukkan isyarat peace ketika wajahnya dirakamkan lensa kamera oleh pihak media ketika proses tahanan reman dilakukan.
Mohd. Harith kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan diberikan terhadap tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 24 Januari depan sementara menunggu laporan bedah siasat, perubatan serta laporan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).










