BEIRUT: Sebuah peluru artileri mengenai ibu pejabat Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Shama, selatan Lubnan, semalam.
Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku pada sebelah petang apabila peluru hidup artileri 155mm mengenai kawasan berkenaan.
“Peluru tersebut tidak meletup dan pasukan pakar pemusnah bom dari Itali segera mengawal situasi, memindahkan bahan letupan itu dan melaksanakan letupan terkawal,” kata UNIFIL.
Bagaimanapun, UNIFIL tidak menyalahkan mana-mana pihak terhadap insiden itu, namun menegaskan keperluan mematuhi tanggungjawab untuk memastikan keselamatan anggota dan aset PBB.
Kejadian berlaku sehari selepas konvoi UNIFIL diserang oleh penyerang tidak dikenali semasa menjalankan misi di selatan Lubnan.
Sementara itu, tentera Israel dilaporkan telah menyerang beberapa pos UNIFIL di selatan Lubnan sejak melancarkan serangan darat di kawasan berkenaan awal Oktober lalu, tindakan yang mencetuskan kecaman di peringkat antarabangsa.
UNIFIL yang ditubuhkan pada 1978 bertujuan memulihkan keamanan di rantau itu dan memastikan pengunduran tentera Israel dari Lubnan.
Israel melancarkan kempen udara di Lubnan sejak akhir September lalu dengan alasan menyerang sasaran kumpulan Hezbollah, meningkatkan ketegangan rentas sempadan yang berlangsung selama setahun.
Sehingga kini, lebih 3,400 orang terkorban, hampir 14,600 cedera dan lebih 1 juta penduduk kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel sejak Oktober lalu, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.
Walaupun amaran antarabangsa dikeluarkan mengenai rantau Asia Barat berada di ambang peperangan besar-besaran, Tel Aviv terus memperluaskan konflik dengan melancarkan serangan darat ke selatan Lubnan pada 1 Oktober lalu. – AGENSI










