Pelancong kecewa Menara Condong ditutup - Utusan Malaysia

Pelancong kecewa Menara Condong ditutup

PELANCONG dari Klang, Selangor menunjukkan pintu masuk ke Menara Condong yang ditutup ketika mahu melawat menara tersebut kelmarin. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Para pelancong menyatakan rasa kecewa mereka apabila tidak dapat menaiki Menara Condong di sini yang ditutup kelmarin berikutan khabar angin pihak tertentu mahu me­ngadakan perhimpunan di dataran menara itu.

Menara itu ditutup kepada pelancong oleh Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) bermula pagi kelmarin untuk mengelak pihak tertentu berkumpul di menara itu seperti yang berlaku baru-baru ini.

Seorang pelancong dari Pulau Pinang, Seow Heng Tai, 38, berkata, dia dan anak-anaknya sedang bercuti dan singgah di Teluk Intan untuk melawat Menara Condong dan Pulau Bangau di Sungai Perak di sini.

Katanya, mereka sekeluarga rasa teruja untuk naik hingga ke bahagian atas menara itu tetapi terkejut dan kecewa apabila menara itu ditutup kepada pelancong.

“Malangnya kami tidak dapat naik bahagian dalam dan bahagian atas Menara Condong, kawasan pintu masuk menara diletakkan kon dan tali kuning tanda tidak benarkan naik. Pada mulanya saya ingatkan bahagian dalam menara itu ada kerosakan dan ada orang yang sedang me­lakukan kerja-kerja baik pulih.

“Seorang peniaga yang jual kacang rebus di sini memberi­tahu hari ini tidak benarkan melawat menara itu yang di­tutup sebab ada maklumat kata ada pihak tertentu hendak me­ngadakan perhimpunan di dataran ini.

“Kami enam beranak kecewa kerana tak dapat naik ke menara ini, kami tak jadi nak menyewa hotel di sini, kami bimbang berlaku apa-apa nanti dan kami ke Bagan Datuk menginap di sana dan bawa anak-anak bersiar-siar di Bagan Datuk dan selepas itu kami balik ke Pulau Pinang,” katanya.

Seorang pelancong dari Klang, Selangor, M. Selwa Kumar, 48, berkata, dia dan rakan-rakannya ada mendengar ada pihak yang mahu mengadakan perhimpunan di dataran itu tetapi mereka tetap datang untuk melawat menara tersebut.

Katanya, mereka kecewa kerana menara tersebut ditutup bagi mengelak kejadian perhimpunan oleh pihak tertentu.

“Kami datang dari Klang berkonvol motosikal semata-mata nak naik Menara Condong tapi ditutup hari ini.

“Kami kesal kerana tak dapat melihat monumen bersejarah yang terkenal ini. Kami kesal kerana ia ditutup bukan kerana disebabkan kerosakan tetapi bagi mengelak lokasi ini dijadikan tempat perhimpunan oleh pihak tertentu.

“Kalau nak buat perhimpunan pergilah ke tempat lain, ini tempat pelancong,” katanya.

Sebelum ini, polis menasihati orang ramai agar tidak menyertai Himpunan Patriotik Rakyat yang akan diadakan Dataran Menara Condong kelmarin susulan tidak mendapat kebenaran pemilik lokasi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata, perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran pemilik tanah iaitu Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) atas faktor ketidaksesuaian tempat perhimpunan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN