Patenkan ikan celup tepung – MyIPO

Patenkan ikan celup tepung – MyIPO

MOHD. Zuhan Mohd. Zain (kanan) beramah mesra dengan kakitangan MyIPO selepas merasmikan pejabat satelit MyIPO cawangan Terengganu di Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Terengganu disaran mempa­tenkan makanan santai popular di negeri ini iaitu ikan celup tepung sebagai harta intelek di bawah kategori petunjuk geografi.

Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain berkata, ikan celup tepung selama ini sinonim dengan Terengganu, selain keropok lekor Losong yang sudah dipatenkan pada 2016.

Menurutnya, pada masa ini, ramai peniaga ikan celup tepung di pesisir pantai negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ikan celup tepung atau lebih dikenali sebagai ICT masih belum dipatenkan seperti dilakukan terhadap keropok lekor Losong yang sudah dipatenkan.

“Antara lokasi tumpuan pe­niaga ICT yang boleh diberi fokus untuk dipatenkan dalam kategori Petunjuk Geografi ialah Penarik (Setiu) dan sekitar Lapangan Terbang Sultan Mahmud (Kuala Nerus),” katanya selepas merasmikan pejabat satelit cawangan Terengganu di sini, semalam.

Mohd. Zuhan berkata, cawa­ngan Terengganu tersebut merupakan pejabat satelit MyIPO pertama di negara ini.

Jelas beliau, pembukaan pejabat satelit itu bagi memudahkan rakyat Terengganu khususnya usahawan untuk berurusan dengan MyIPO bagi urusan pematenan harta intelek.

Mohd. Zuhan memberitahu, MyIPO percaya permohonan harta intelek di negeri ini akan meningkat berkali ganda ekoran pembukaan pejabat satelit ter­babit.

Beliau berkata, sebelum ini, pihaknya hanya menerima 1,418 permohonan harta intelek dari Terengganu dalam tempoh lima tahun sejak 2019. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini