JERANTUT: Penoreh getah di Felda Kota Gelanggi Dua di sini resah setiap kali musim tengkujuh kerana hujan memberi kesan pokok getah basah yang menyebabkan susu tidak dapat mengalir dan jika ditoreh, batangnya boleh rosak.
Situasi itu menyebabkan Nurul Wahida Kamarudin, 40, tidak keluar menoreh sekali gus menjejaskan sumber pendapatan keluarga yang bergantung kepada hasil komoditi tersebut.
“Sejak awal bulan ini, saya cuma memperoleh hasil torehan selama enam hari, iaitu getah beku/sekerap seberat 60 kilogran sahaja dan apabila dijual cuma pendapatan hanya RM222 dengan harga RM3.70 sekilogram.
“Bila dibahagikan dua dengan pemilik kebun, saya cuma dapat RM111 yang hanya cukup untuk belanja barang keperluan dapur beberapa hari sahaja,” katanya di sini semalam.
Nurul Wahida dan suaminya, Mohd. Nazrul Mat Zain, 43, berdepan hakikat tidak semua pekerjaan mampu memberikan kesenangan seperti penoreh getah kerana apabila hujan kemungkinan dapur tidak berasap.
Dia dan suaminya turut menoreh sebanyak 180 batang pokok getah tua di pinggir Felda Kota Gelanggi Dua dengan pengeluaran hasil tidak seberapa untuk belanja dapur.
Harga getah tidak menentu sehingga penoreh luar bandar berdepan kesusahan hidup apabila harga jualan kepada peniaga berlesen cuma sekitar RM3.60 hingga RM3.70, sedangkan harga sudah melebihi RM4 sekilogram sejak pertengahan tahun ini.










