Lubnan tanggung kerugian RM22.3 bilion akibat perang Israel

Lubnan rugi RM22.3 bilion akibat perang Israel

PENDUDUK memeriksa kemusnahan selepas serangan Israel terhadap kejiranan Mreijeh di pinggir selatan Beirut.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Lubnan mengalami kerugian ekonomi melebihi AS$5 bilion (RM22.3 bilion) akibat konflik antara Israel dan kumpulan Hezbollah yang berlarutan selama lebih setahun serta merosakkan hampir 100,000 kediaman.

Menurut laporan terkini Bank Dunia semalam, konflik yang berlangsung sejak 8 Oktober 2023 hingga 27 Oktober lalu, menyebabkan kerugian AS$5.1 bilion (RM22.8 bilion) kepada Lubnan.

“Kerugian ini tertumpu pada sektor perdagangan, pelancongan dan perhotelan serta sektor pertanian,” jelas laporan itu.

Bank Dunia turut memberi amaran kos akhir kerosakan dan kerugian bagi Lubnan dijangka jauh lebih tinggi daripada penilaian semasa.

Konflik ini juga merosakkan kira-kira 99,209 unit rumah, terutama di selatan Lubnan berhampiran sempadan Israel, dengan nilai kerosakan dianggarkan AS$2.8 bilion (RM12.5 bilion).

Sekitar 81 peratus rumah yang musnah terletak di daerah Tyre, Nabatiyeh, Saida, Bint Jbeil dan Marjayoun, menurut laporan itu.

Sejak 1 Oktober lalu, Israel memperluaskan konflik dengan melancarkan serangan darat di selatan Lubnan, memusnahkan keseluruhan kawasan kejiranan.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan, lebih 3,100 orang telah terbunuh manakala lebih 13,800 cedera dalam serangan Israel sejak Oktober 2023.

Bank Dunia turut menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Lubnan akan merosot sebanyak 6.6 peratus pada 2024 akibat konflik yang semakin memuncak.

Ini memburukkan lagi krisis ekonomi yang bermula pada 2019 dan menjerumuskan sebahagian besar penduduknya ke dalam kemiskinan.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×