Kerajaan iktiraf jasa Daim pada negara

Kerajaan iktiraf jasa Daim pada negara

AHLI keluarga dan kenalan mengusung jenazah Allahyarham Tun Daim Zainuddin, selepas disolatkan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan mengiktiraf jasa dan sumbangan Tun Daim Zainuddin kepada negara terutama ketika beliau memegang jawatan Menteri Kewangan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, beliau mene­rima perkhabaran pemergian Daim sebaik tiba di Lima, Peru, semalam.

“Terima perkhabaran pemergian Tun Daim Zainuddin setibanya di Lima, Peru. Salam takziah buat keluarga Allahyarham. Kerajaan mengiktiraf jasa dan sumbangan beliau kepada negara terutama semasa menjadi Menteri Kewangan. Al-Fatihah,” katanya.

Daim yang juga ahli politik veteran dan ahli perniagaan meninggal dunia sekitar pukul 8.21 pagi semalam di Hospital Assunta, Petaling Jaya.

Pada minggu lalu, beliau di­kejarkan ke hospital tersebut akibat serangan strok sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pemergian Daim pada usia 86 tahun, disahkan oleh peguamnya, Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar.

Ke­hilangan Daim itu turut memberi impak besar kepada be­kas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila menyifatkan beliau kini hilang sahabat yang bersamanya berjuang demi bangsa, negara dan agama.

Beliau turut meluahkan ra­sa sedih tidak terhingga atas pemergian Daim sambil menzahirkan kekecewaannya apabila tokoh itu tidak mendapat penghargaan sewajarnya atas sumbangan terhadap perjuangan.

Sebaliknya, Dr. Mahathir berkata, di akhir hayat Daim, beliau diherdik tanpa sebab kerana dendam.

“Inikah balasan yang menimpa kerana dendam. Ya Allah. Adililah Daim berasaskan keadilan.

“Berikanlah tempat kepada­nya di akhirat sebagai pejuang bangsa. Saya hanya mampu berdoa. Akan kita bersama kembali di masa tertentu. Amin, Ya Rabbal Alamin,” katanya.

Pemergian Daim yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan pada 2018, turut mendapat penghormatan apabila Dewan Rakyat menzahirkan uca­pan takziah dan bertafakur kepada beliau.

Yang Dipertua Dewan Rak­yat, Tan Sri Johari Abdul turut meminta semua Ahli Parlimen yang beragama Islam membacakan surah Al-Fatihah, ma­nakala yang bukan Islam bertafakur sebelum sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa disambung, petang semalam.

Johari dalam menghargai ja­sa Daim turut mengimbau per­khidmatan Allahyarham se­­bagai Ahli Parlimen Kuala Mu­­da dan Merbok sejak 1982 hingga 2003.

“Allahyarham pernah ber­khidmat sebagai Senator dari 1980 hingga 1982. Saya bagi pihak ahli-ahli Dewan ini dan pihak Parlimen seluruhnya i­ngin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham,” katanya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut menzahirkan takziah kepada ahli keluarga Daim sambil me­ngatakan negara kehila­ngan sebutir mutiara yang tidak ternilai harganya, manakala Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan sumbangan Allahyarham pada negara begitu besar.

Pengerusi Perikatan Nasio­nal (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengimbau sumbangan besar Allahyarham ketika dua kali menjadi Menteri Kewangan pada 1984 hingga 1991 dan 1999 hingga 2001 yang menyaksikan pertumbuhan pesat ekonomi negara.

“Jasa Allahyarham dalam me­ngurus ekonomi dan membawa Malaysia keluar daripada krisis kewangan Asia ketika itu akan terus dikenang dan kekal dalam lipatan sejarah negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN