PUTRAJAYA: Ketika negara terus membangun dalam era moden hari ini, trend perkahwinan melibatkan kanak-kanak bawah umur masih berlaku malah semakin meningkat, sekali gus mencabuli hak dan menjejaskan masa depan golongan tersebut.
Biarpun perkahwinan itu dibenarkan oleh ibu bapa atau penjaga mereka, ia masih tidak sesuai kerana perlu memikul tanggungjawab besar menguruskan rumah tangga pada usia yang terlalu mentah.
Keadaan itu lebih sukar sekiranya mereka hamil kerana golongan tersebut berisiko mendapat komplikasi kesihatan sehingga boleh menyebabkan kematian anak yang dikandung.
Lebih 26,617 kanak-kanak dan remaja bawah umur dalam kalangan umur 10 hingga 19 tahun di negara ini direkodkan berkahwin dan hamil dalam tempoh antara tahun 2019 hingga tahun lalu.
Statistik oleh Kementerian Kesihatan itu turut mencatatkan seramai 17,646 kes kehamilan adalah di luar pernikahan, sekali gus merekodkan keseluruhan 44,263 golongan itu sudah pun melalui fasa kehamilan.
Sarawak merekodkan kes tertinggi kehamilan remaja iaitu berjumlah 9,258 kes; diikuti Sabah 6,871 kes; Pahang (3,993 kes); Johor, (3,774 kes); Selangor (3,640 kes); Perak (3,373 kes) dan Kelantan (3,285 kes).
Jumlah kanak-kanak dan remaja yang berkahwin semakin membimbangkan kerana pada usia ini mereka sepatutnya mengikuti persekolahan, apatah lagi keadaan fizikal dan mental mereka belum matang untuk menghadapi alam rumah tangga.
Akta keluarga Islam yang diguna pakai di negeri-negeri memperuntukkan bahawa umur minimum untuk perkahwinan bagi lelaki ialah 18 tahun manakala bagi perempuan ialah 16 tahun.
Bagaimanapun, perkahwinan di bawah umur tersebut boleh dilakukan sekiranya mendapat kebenaran bertulis daripada Hakim Syarie dalam hal tertentu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, wakil kumpulan sokongan, Students Not Brides, Zharin Zhafrael berkata, kanak-kanak perlu dipertahankan hak mereka terutama dalam mendapatkan pendidikan sewajarnya berbanding mengizinkan mereka berkahwin walaupun secara rela atau terpaksa.
“Jika perkahwinan kanak-kanak masih kekal dibenarkan di Malaysia, ia menjurus ke arah menormalisasikan kesalahan jenayah merogol. Ini kerana terdapat kes apabila seorang lelaki yang merogol kanak-kanak boleh terlepas daripada pendakwaan dan hukuman.
“Ia hanya dengan memilih untuk mengahwini mangsa seperti mana kes seorang gadis berusia 13 tahun yang dirogol oleh pengurus restoran berusia 40 tahun yang kemudiannya berkahwin dengan kanak-kanak itu secara sah,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, meskipun Kerajaan Persekutuan boleh menggesa perkahwinan bawah umur dihentikan, kuasa penuh untuk meminda undang-undang tersebut masih terletak di bawah kerajaan negeri.
Setakat ini, hanya Kedah dan Selangor yang sudah mengambil langkah meminda perlembagaan negeri masing-masing berkaitan isu tersebut.
Perbuatan seksual di bawah Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara dua tahun hingga 30 tahun, dan di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, serangan seksual terhadap kanak-kanak membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, malah berkomunikasi dengan kanak-kanak mengenai perkara seksual di luar skop tujuan perubatan atau pendidikan adalah jenayah.
Zharin yang juga aktif dalam kumpulan Pelajar Bukan Pengantin berkata, kerajaan juga tidak serius dalam mengharamkan perkahwinan kanak-kanak.










