KUALA LUMPUR: Peguam pelakon Diana Danielle, Datuk Akbardin Abdul Kader, memaklumkan aktres itu dengan suaminya, Farid Kamil sudah tidak lagi tinggal sebumbung sejak lebih kurang sebulan lalu.
Menurut Akbardin, pelakon Imaginur itu sudah menghubungi pihaknya sebulan lalu dan meminta mereka bersedia untuk proses perceraian.
“Sebenarnya kita ada berbincang tentang ini (perceraian) sejak sebulan lalu dan minta pihak kami bersedia untuk failkan perceraian.
“Tapi baru-baru ini dia ada masukkan kenyataan dalam Instagram mengenai pendiriannya dan kami terus dapat arahan untuk teruskan (perceraian ini).
“Saya tidak diberitahu berkenaan Farid lebih lanjut. Tapi dia tidak lagi tinggal sebumbung sejak lebih kurang sebulan lalu,” katanya.
Akbardin ditemui Utusan Malaysia sejurus permohonan cerai difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini, semalam.
Dalam pada itu, Akbardin memaklumkan sebarang urusan komunikasi antara kedua-dua pihak ini hanya akan berlaku melalui peguam.
“Selepas ini komunikasi akan berlaku melalui peguam. Cuma kami tidak pasti siapa yang akan mewakili defenden,” tambahnya.
Terdahulu, Diana hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan bagi memfailkan cerai terhadap suaminya.
Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 33, tiba dalam pakaian serba hitam pada pukul 9 pagi bersama peguamnya. – UTUSAN










