Diugut jika benarkan ADUN PN masuk sekolah - Utusan Malaysia

Diugut jika benarkan ADUN PN masuk sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ada dakwaan guru-guru di negeri ini diugut ditukarkan ke lokasi lain sekiranya membenarkan penglibatan Exco dan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) terlibat dalam kegiatan sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri, Datuk Mohd. Azam Abd. Samat berkata, ia tidak adil kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH) dibenarkan memasuki sekolah sebelum ini.

“Sekarang tak boleh masuk sekolah, jawapan diberikan juga menyakitkan hati, kononnya sekolah tidak ikut peraturan, tak cukup tempoh permohonan 30 hari untuk mohon kebenaran dan sebagainya.

“Seolah-olah pentadbir sekolah tak reti nak buat kertas kerja atau sekadar satu dua muka surat jemputan. Tindakan ini macam menghalang guru-guru serta pentadbir menjadi lebih kreatif serta kompeten untuk bersama wakil rakyat setempat.

“Timbul budaya menakut-nakutkan dan saya difahamkan, ada bahagian buat ugutan konon nak buat pertukaran dan sebagainya. Harapnya tiada ugutan atau diberikan halangan kalau Yang Berhormat masuk untuk bincang atau sampaikan sumbangan,” katanya dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, semalam.

“Kami tak dibenarkan tetapi pemimpin lain seperti ADUN Kota Darul Aman dan Bakar Arang pernah dijemput. Ketua bahagian UMNO, DAP dan sebagainya juga pernah dijemput.

“Harapnya kita dapat bersikap lebih adil di peringkat pendidikan untuk kita laksanakan secara bersama. Dalam keadaan sekarang ini, guru besar pun takut,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir (Bersatu-Kota Siputeh) turut menzahirkan kekecewaan beliau berhubung perkara itu kerana pernah berdepan keengganan pihak sekolah yang tidak mahu mempromosikan program motivasi dan teknik menjawab soalan kepada murid dan pelajar di kawasannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN