Demokrat gesa Biden sekat dua menteri Israel

Demokrat gesa Biden sekat dua menteri Israel

BEZALEL Smotrich (kiri) dan Itamar Ben-Gvir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kira-kira 90 wakil Demokrat menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggunakan baki tempoh yang ada dalam pentadbirannya untuk menyekat dua menteri Israel.

Dalam surat yang dihantar pada 29 Oktober lalu, 88 anggota Demokrat menyeru Biden menyekat Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich dan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir kerana memacu dasar yang menggalakkan keganasan peneroka, melemahkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan menjejaskan kestabilan Tebing Barat.

“Dengan pegawai radikal dalam pentadbiran Netanyahu terus membolehkan keganasan peneroka dan menggubal dasar menggalakkan pendudukan haram, adalah jelas bahawa sekatan selanjutnya diperlukan segera.

“Individu dan entiti utama yang menggugat kestabilan Tebing Barat, mengancam keselamatan Israel dan rantau yang lebih luas, termasuk kestabilan di AS harus bertanggungjawab secara langsung.

“Mesej bahawa tindakan sedemikian tidak boleh diterima daripada pemimpin, termasuk dalam pentadbiran Israel mesti didengari,” tegas ahli Demokrat dalam surat di Dewan Perwakilan dan Senat.

Menegaskan bahawa Israel adalah sekutu AS paling dekat dan kekal di Asia Barat, Demokrat berkata, mereka tetap komited untuk memastikan keselamatan jangka panjangnya, termasuk dengan menyokong penyelesaian dua negara yang dirundingkan.

“Keganasan peneroka di Tebing Barat, dengan insentif oleh organisasi luar dan juga oleh pegawai pelampau dalam pentadbiran Netanyahu telah mengancam keselamatan strategik jangka panjang Israel dan wilayah itu,” jelas surat berkenaan.

Ketegangan semakin memuncak di seluruh Tebing Barat yang diduduki berikutan perang maut Israel di Semenanjung Gaza, yang mengorbankan lebih 43,700 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Oktober 2023.

Lebih 783 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 6,300 lagi cedera akibat tembakan tentera Israel di wilayah pendudukan, menurut Kementerian Kesihatan.

Dalam nasihat bersejarah pada Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa pendudukan Israel selama beberapa dekad di tanah Palestin adalah menyalahi undang-undang dan menuntut pemindahan semua penempatan sedia ada di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×