SERI KEMBANGAN: Sukan bola sepak mendidik anak muda menjadi pemimpin masa depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar berkata, sukan berkenaan melatih anak-anak tentang disiplin dan mengajar untuk menghormati orang lain.
“Masa bermain bola itulah sebenarnya mendidik disiplin, jangan ingat seronok main bola sahaja tapi bola sepak ini mengajar menghormati orang lain.
“Main bola jangan sekali-kali berkasar dengan lawan, sebaliknya bermainlah dengan kemahiran yang ada. Jangan mengasari pihak lawan sampai terjatuh dan mencederakan. Itu bukan ciri seorang pemimpin,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Bola Sepak Kanak-kanak, Vipers Super Sunday di Taman Lestari Putra di sini semalam.
Kelab Bola Sepak Lestari Vipers turut memperkenalkan piala pusingan kejohanan Vipers Super Sunday yang dinamakan sebagai ‘Piala Dato Naim’.
Mohd. Naim turut mengajak ibu bapa kelab khususnya memberi sokongan kepada kelab membentuk generasi pemimpin yang baik.
“Pemimpin ini maksudnya khalifah. Anak-anak peserta kejohanan hari ini semua ada tanggungjawab untuk memimpin dunia ini.
“Masyarakat juga memainkan peranan untuk membentuk kepimpinan akan datang dan memastikan anak-anak ini akan membesar menjadi pemimpin masyarakat dan negara.,” katanya.










