BNM arah syarikat insurans semak semula caj

BNM arah syarikat insurans semak semula caj

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat insu­rans dan pengendali takaful (ITO) diarah menyemak strategi penentuan semula harga insurans perubatan serta kesihatan (MHIT) bagi memastikan pelaksanaan yang lebih wajar.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), ia termasuk me­nguruskan kenaikan premium atau sumbangan dengan me­ngambil kira impak terhadap pemegang polisi takaful.

Katanya, ITO dikehendaki menyediakan pilihan penyelesai­an yang sesuai untuk pemegang polisi yang terkesan disebabkan oleh peningkatan premium atau sumbangan bagi terus mempunyai perlindungan insurans.

Memuatkan artikel berkaitan…

“ITO juga perlu memastikan pilihan penyelesaian yang terbaik dan menyediakan langkah-langkah tambahan untuk menyokong pemegang polisi yang terjejas.

“Maklumat lanjut mengenai pilihan tersedia akan di­umumkan oleh industri insurans dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, premium insu­rans perubatan dijangka meningkat sehingga 70 peratus tahun depan yang menyebabkan sesetengah pemegang polisi tiada pilihan selain mempertimbang menamatkan polisi mereka kerana peningkatan kos bulanan premium.

Mengulas lanjut, BNM berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai penentuan semula harga insurans perubatan dan kesihatan (MHIT) oleh ITO yang dilihat memberikan impak terhadap pemegang polisi.

“BNM kekal komited bagi memastikan orang ramai te­rus mempunyai akses kepada produk insurans dan takaful yang bersesuaian,” katanya.

Malah, BNM turut mengakui sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kos penjagaan kesihatan meningkat dengan ketara berikutan inflasi kos perubatan serta peningkatan penggunaan perkhidmatan dan prosedur pe­rubatan.

“Pembaharuan yang komprehensif dan terlaras untuk membendung inflasi kos perubatan perlu dilaksanakan bagi memastikan akses berterusan kepada produk perlindungan MHIT yang bersesuaian.

“Pihak berkepentingan yang relevan (termasuk ITO, Kementerian Kesihatan, Persatuan Hospital Swasta Malaysia, pengamal perubatan, kumpulan pengguna, pemegang polisi dan BNM perlu bekerjasama untuk mencapai matlamat ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×