KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memfailkan saman pemula bagi mencabar tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang dikatakan enggan mengosongkan enam kerusi bekas ahli parti tersebut yang telah memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saman pemula itu difailkan 15 November lalu oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya sebagai pegawai awam parti berkenaan selaku plaintif.
Selain Johari, turut dinamakan sebagai defendan ialah lima bekas ahli parti tersebut, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Ahli Parlimen Kuala Kangsar); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Zahari Kechik (Jeli); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Menurut saman pemula terbabit, Bersatu menyatakan lima ahli Parlimen yang pada mulanya bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 atas tiket Bersatu telah menyatakan sokongan mereka kepada Anwar sekitar Oktober 2023.
Selepas sokongan diberikan, masing-masing menerima peruntukan dan lain-lain manfaat bagi kawasan mereka.
Defendan kedua hingga keenam, diarahkan oleh Bersatu untuk antara lain menarik balik sokongan yang diberikan kepada Perdana Menteri.
Walaupun diberikan peluang secukupnya, namun mereka gagal, abai dan enggan mematuhi arahan parti.
Pada 17 Mei lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mengeluarkan arahan khusus buat defendan kedua hingga keenam antara lainnya menarik balik sokongan pada Anwar dan mematuhi apa jua dasar, ketetapan dan arahan yang diputuskan parti.
Arahan tersebut bagaimanapun tidak diikuti menyebabkan keahlian kelima-lima ahli Parlimen tersebut terhenti.
Bersatu kemudiannya menghantar notis bertulis kepada Johari bagi memaklumkan kekosongan kerusi luar jangka mengikut peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) dan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.
Defendan pertama juga pada 24 Jun lalu meminta maklumat dan dokumen sokongan daripada plaintif berhubung kekosongan tersebut.
Bagaimanapun, melalui surat bertarikh 9 Julai lalu, Johari memutuskan tidak berlaku kekosongan kerusi luar jangka.
Alasan diberikan defendan pertama adalah peruntukan perlembagaan Bersatu dan Arahan Khusus MPT Bersatu bertentangan dan menafikan hak keistimewaan, kebebasan bercakap dan hak mengundi defendan kedua hingga keenam.
“Alasan ini hanyalah alasan semata-mata kerana defendan pertama sebenarnya tidak mempunyai kuasa memutuskan keperlembagaan perlembagaan Bersatu dan Arahan Khusus MPT Bersatu tersebut yang sebenarnya hanya pada kuasa pihak mahkamah.
“Alasan defendan pertama tersebut juga adalah dangkal kerana hak-hak tersebut tertakluk kepada sekatan yang dikenakan oleh Perkara 49A dan Seksyen 7A Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan,” ujar saman pemula terbabit.
Sehubungan itu, Bersatu antara lain memohon deklarasi bahawa tindakan Johari tidak mengumumkan kekosongan kesemua kerusi itu sebagai menyalahi peruntukan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan sekali gus gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai Speaker Dewan Rakyat.










