SEREMBAN: Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Kuarters KLIA, Nilai di sini, pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya telah dihubungi oleh Klinik Kesihatan Kuarters KLIA kira-kira pukul 12.45 tengah hari berhubung kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pada kira-kira pukul 7.30 pagi, pengasuh telah memasukkan bayi lelaki itu ke dalam buaian setelah dihantar oleh ibu bapanya.
“Apabila pengasuh ingin mengejutkan bayi itu untuk dimandikan, didapati bayi tidak sedarkan diri dengan keadaan terlentang dan kepala mendongak ke atas.
“Pemeriksaan awal oleh pihak polis mendapati tiada kesan kecederaan pada fizikal tubuh badan si mati dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat.
“Keputusan bedah siasat didapati tiada kesan kecederaan dalaman dan luaran dan punca kematian tidak dipastikan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya kepada pemberita.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Rembau enggan mengulas lanjut, namun reda dengan kejadian. – UTUSAN










