NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) memulangkan lebih 1,400 artifak yang dicuri bernilai AS$10 juta (RM44.7 juta) kepada India, sebagai sebahagian daripada inisiatif mengembalikan karya seni yang dirampas dari negara-negara Asia Selatan dan Tenggara.
Pejabat Peguam Daerah Manhattan dalam satu kenyataan memaklumkan, artifak yang dipulangkan termasuk barang rampasan yang sebelum ini dipamerkan di Muzium Seni Metropolitan New York.
Antara yang dipulangkan ialah patung batu pasir seorang penari celestial yang diseludup dari India tengah ke London, sebelum dijual secara haram kepada seorang dermawan dan didermakan kepada muzium itu.
Pemulangan artifak ini adalah hasil daripada beberapa siasatan berterusan terhadap rangkaian penjarahan seni purba yang dikendalikan oleh penyeludup terkenal seperti Nancy Wiener dan Subhash Kapoor.
Kapoor, seorang pedagang antikuiti dari AS, dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun kerana mengetuai rangkaian penyeludupan bernilai jutaan dolar melalui galeri miliknya di New York, sebelum ditahan di Jerman pada 2011 dan diekstradisi ke negeri Tamil Nadu, India untuk menghadapi pertuduhan.
“Pemulangan hari ini menandakan satu lagi kejayaan dalam penyiasatan antarabangsa selama beberapa tahun terhadap barang antik yang diperdagangkan oleh pesalah paling prolifik dalam sejarah,” kata William Walker, ejen khas dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS.
Artifak tersebut secara rasmi dipulangkan dalam satu majlis di Konsulat India di New York, Rabu lalu.
Sejak penubuhannya lebih sedekad lalu, Unit Pemerdagangan Barang Antikuiti Peguam Daerah Manhattan, mendapatkan semula 5,800 barang antik bernilai hampir AS$460 juta (RM2 bilion).
Unit itu juga mendakwa 16 individu atas kesalahan pemerdagangan dan memfailkan ekstradisi terhadap enam yang lain berkaitan harta budaya yang dicuri.
Pada Julai lalu, AS dan India menandatangani perjanjian untuk melindungi harta budaya dengan mencegah perdagangan haram serta mempercepatkan proses pemulangan antikuiti yang dicuri ke India.– CNN










