PETALING JAYA: Sebanyak 10 premis dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik selepas didapati menjalankan aktiviti judi dalam talian.
Tindakan pemotongan elektrik itu dilakukan semalam oleh Polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Op Dadu Khas.
Menerusi operasi khas bermula pukul 9.30 pagi itu dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama Balai Polis Tun H S Lee.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, tindakan pemotongan elektrik dilakukan di bawah Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bagi tujuan mengelakkan premis terbabit aktif menjalankan aktiviti perjudian semula.
“Semasa pemotongan bekalan elektrik didapati premis tidak berpenghuni dan operasi dijalankan dengan lancar,” katanya di sini.
Mengulas mengenai modus operandi premis judi terbabit, beliau berkata, hanya pelanggan tetap dibenarkan masuk selain premis diawasi kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu besi.
Tambahnya, nilai pertaruhan yang ditawarkan bergantung kepada pelanggan.