Wajibkan subjek IT, AI dalam jurusan sains sosial

Wajibkan subjek IT, AI dalam jurusan sains sosial

SUDAH tiba masanya setiap kursus sains sosial di universiti tempatan mewajibkan subjek khusus melibatkan penguasaan teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dalam era digital yang serba canggih, kemahiran dalam teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) bukan lagi pilihan tetapi dilihat sebagai satu keperluan.

Pakar pendidikan, Profesor Madya Dr. Salleh Amat berpendapat, sudah tiba masanya setiap kursus sains sosial di universiti tempatan mewajibkan subjek khusus melibatkan penguasaan IT dan AI sebagai langkah memastikan graduan terus relevan dan mampu bersaing dalam pasaran kerja global.

Katanya, kemahiran ini bukan sahaja kritikal untuk memenuhi keperluan industri tetapi juga melengkapkan mahasiswa dengan kecekapan yang diperlukan dalam era digital.

“Dunia hari ini menuntut tenaga kerja yang bukan sahaja arif dalam bidang mereka, malah mampu mengendalikan teknologi tinggi seperti AI.

“Ini penting untuk mempersiapkan mereka menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Beliau turut mengesyorkan kursus tambahan dan latihan kemahiran semula diadakan secara berterusan bagi graduan sains sosial.

Menurutnya, penuntut bidang itu perlu dibimbing dalam aspek teknologi seperti analisis data, automasi dan penggunaan AI dalam bidang penyelidikan sosial untuk memastikan kebolehpasaran mereka di pasaran kerja.

Dalam pada itu, beliau menyeru pihak universiti untuk mengambil langkah proaktif dalam menentukan hala tuju pembelajaran yang lebih relevan dengan situasi semasa.

“Pihak universiti harus bertanggungjawab dalam mengemas kini struktur kursus yang ditawarkan, sekali gus memastikan silibus yang ada sejajar dengan keperluan teknologi terkini,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad menyarankan universiti tempatan memperluaskan kursus berteraskan multidisiplin kepada mahasiswa sebagai usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan serta keupayaan dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin dinamik.

Katanya, institusi pengajian tinggi (IPT) tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada kursus dalam bidang sastera dan sains sosial sahaja, sebaliknya membuka peluang kepada program pengajian yang menggabungkan elemen-elemen berbeza seperti teknologi, keusahawanan serta kemahiran kritikal yang relevan dengan keperluan semasa.

“Melalui pendekatan multidisiplin, pelajar bukan sahaja memperoleh pengetahuan khusus dalam bidang masing-masing tetapi juga dapat menguasai pelbagai kemahiran rentas bidang yang mampu meningkatkan nilai pasaran mereka,” katanya.

Beliau menegaskan, peralihan ke arah pengajian multidisiplin ini perlu diperkukuh dengan kerjasama sektor industri bagi memastikan pelajar menerima latihan yang sesuai dengan keperluan pekerjaan semasa.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan graduan jurusan sastera dan sains sosial yang tidak mempunyai kemahiran dalam bidang AI berkemungkinan berdepan cabaran untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam pasaran kerja masa kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×