BEIRUT: Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi menyeru sokongan meluas daripada antarabangsa untuk menghentikan bencana kemanusiaan yang melanda Lubnan.
Serangan udara Israel selama dua minggu di negara itu, meragut ratusan nyawa dan menyebabkan lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal.
Grandi yang kini melawat Beirut untuk menyatakan solidaritinya terhadap Lubnan, menggesa lebih banyak sokongan diberikan kepada semua yang terjejas, termasuk rakyat dan pelarian.
“Saya menyaksikan hari ini korban tragis ini menimpa seluruh masyarakat.
“Undang-undang kemanusiaan antarabangsa mesti dihormati dan tidak boleh diabaikan.
“Ini adalah kewajiban moral yang mendesak untuk membantu mereka yang terkesan akibat peningkatan keganasan,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Dalam saat yang amat mendesak ketika ini, Grandi menegaskan, dunia mesti tampil memberikan bantuan dan sokongan kepada Lubnan.
“Keluarga kehilangan tempat tinggal, terkandas dia kawasan terbuka dengan kanak-kanak trauma tidak dapat memahami apa yang berlaku.
“Mereka (rakyat) tidak sepatutnya membayar harga untuk kegagalan besar mencari penyelesaian politik dan menamatkan kitaran keganasan ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan menyediakan lebih 800 tempat perlindungan untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal setakat ini, sementara UNHCR bekerjasama dengan rakan kongsi kemanusiaan untuk mencari lebih banyak tempat perlindungan dengan segera.
Grandi berkata, UNHCR turut menyediakan barangan bantuan asas, bantuan kewangan, rawatan perubatan dan sokongan lain kepada mereka yang memerlukan.
Katanya, UNHCR juga melancarkan rayuan bantuan bernilai AS$111 juta (RM473 juta) untuk membantu sejuta orang yang kehilangan tempat tinggal di Lubnan sehingga akhir tahun ini.










