PETALING JAYA: Kenaikan duti eksais 40 sen seliter ke atas minuman bergula tidak membabitkan gula pasir yang digunakan hampir keseluruhan rakyat termasuk golongan peniaga.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, para peniaga tidak boleh menjadikan kenaikan duti eksais bagi minuman bergula itu sebagai alasan untuk meningkatkan harga makanan dan minuman yang dijual di restoran dan gerai makanan.
Katanya, harga gula biasa yang sering digunakan peniaga untuk menghasilkan makanan termasuk kuih-muih adalah kekal dan tiada perubahan.
“Malah, gula sama juga digunakan untuk membuat air di restoran dan kedai makan. Maka ia tiada kaitan dengan cukai gula seperti yang disebut dalam Belanjawan 2025.
“Cukai gula yang disebut dalam Belanjawan 2025 merupakan cukai ke atas produk yang mengandungi kandungan gula yang tinggi. Contohnya, air dalam tin,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kerajaan dalam Belanjawan 2025 mengumumkan perang terhadap gula dengan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar yang dikenakan adalah 40 sen seliter sebagai usaha selepas penduduk Malaysia menjadi antara paling obes di rantau Asia Tenggara dan gula adalah salah satu musuh utama penyakit tidak berjangkit.
Kadar duti eksais 40 sen seliter dikenakan ke atas minuman bergula mengikut nilai ambang kandungan gula bermula 1 Julai 2019, namun kadar ini dinaikkan kepada 50 sen seliter mulai 1 Januari 2023 membabitkan jenis minuman tertentu.
Antaranya kenaikan duti eksais tersebut melihatkan jenis minuman seperti air minuman termasuk karbonat yang mengandungi gula tambahan, minuman berperisa susu yang mengandungi laktosa dan jus buah serta sayur sama ada mengandungi gula tambahan atau tidak.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, para peniaga khususnya tidak boleh menjadikan kadar duti eksais sebagai alasan menaikkan harga makanan.
Justeru, ujarnya, harga dan kos untuk membuat kuih-muih sepatutnya kekal dan tiada perubahan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kempen Jom Kosong merupakan inisiatif yang diwujudkan oleh pihaknya bersama-sama pemain industri makanan dalam menggalakkan pengguna agar memilih minuman tanpa gula supaya lebih sihat.
Jelasnya, ini bermakna dengan kerjasama restoran terlibat, mereka menawarkan harga kurang 20 sen ke atas pesanan minuman tiada gula.
“Contohnya, harga kopi O kosong akan kurang sebanyak 20 sen berbanding harga minuman ada gula,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, mulai tahun depan, harga air bergula termasuk teh tarik yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia akan meningkat susulan kerajaan mengenakan cukai 40 sen seliter bagi minuman bergula.
Ini bermakna teh tarik yang ketika ini dijual RM2.40 segelas, mulai tahun depan akan dinaikkan kepada RM3. Minuman lain yang bergas juga tidak terkecuali.
Menurut Jawahar Ali, hal demikian ini kerana cukai yang diperkenalkan kerajaan akan dipindahkan kepada pelanggan.
“Polisi baharu itu diyakini mampu mencapai matlamat iaitu mengurangkan peng gunaan gula dan mendorong orang ramai untuk memilih minuman lebih sihat.
“Justeru, langkah kerajaan tersebut boleh memberi kesan lebih menyeluruh dalam mengurangkan kadar penggunaan gula dalam kalangan masyarakat dan dapat memperbaiki kesihatan awam,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Arifin Omar menyarankan pengusaha makanan dan minuman untuk turut menyokong usaha kerajaan dalam mengurangkan kadar obesiti dalam kalangan masyarakat dengan mengurangkan kandungan gula dalam minuman.
Katanya, walaupun masyarakat tahu lebihan pengambilan gula bakal mengundang kepada kemudaratan kesihatan mereka, orang ramai masih kurang cakna dengan kesan tersebut.
Beliau mencadangkan langkah pengurangan gula atau menjadikan pilihan sama ada minuman tersebut berserta gula atau tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan tersebut.
“Ini berikutan pengenaan cukai berkenaan tidak akan mengurangkan permintaan pelanggan terhadap minuman manis.
“Pengusaha makanan dan minuman juga disarankan tidak menggunakan taktik mengolah minuman manis yang banyak tular kini, hanya untuk menarik ramai pelanggan,” jelasnya.
Sebaliknya, pengenalan terhadap makanan dan minuman yang cukup nutrisi dan berzat dalam menu namun lazat juga dapat menarik tarikan orang ramai. – UTUSAN










