Tenaga baharu: TNB perlu segera lakukan peralihan

Tenaga baharu: TNB perlu segera lakukan peralihan

ANWAR Ibrahim melakukan gimik perasmian bangunan TNB Platinum sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-75 TNB di Bangsar, semalam. Turut hadir, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (dua kiri) dan Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid (dua, kanan). – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu segera melakukan peralihan kebergantungan arang batu kepada sumber tenaga baharu bagi mengurangkan impak perubahan iklim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, perkara itu kini menjadi cabaran utama syarikat utiliti nasional itu untuk merangka peralihan dan persiapan dalam mendepani usaha tersebut.

Katanya, TNB telah merangka penyelidikan rapi dan mencari jalan serta kaedah supaya peralihan tenaga itu berjalan rapi dan berkesan.

“TNB sekarang yang mempunyai rekod cemerlang dalam pelbagai bidang, sekarang tercabar untuk melakukan peralihan dan persiapan peralihan tenaga.

“TNB perlu segera melakukan peralihan (tenaga) ini, membuat persiapan untuk terus merangka melalui penyelidikan supaya peralihan tenaga kita berjalan dengan rapi dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pusat Konvensyen Leo Moggie di sini, semalam.

Berkenaan Malaysia yang akan mengambil alih ke­pengerusian ASEAN tahun hadapan, Anwar berkata, TNB juga akan memainkan peranan dalam merealisasikan inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG) sekaligus menjadikan negara dan rantau ini sebagai hab utama tenaga masa depan.

Beliau berkata, cabaran itu memastikan inisiatif strategik APG dimeterai bagi meningkatkan bekalan tenaga dan pe­luang pelaburan.

“Kerajaan sedar pelaburan ini terlalu besar dan sedang memikirkan cara-cara supaya TNB bersama dengan korporat yang lain menjayakan ASEAN grid ini,” katanya.

Anwar berkata, TNB telah melalui peredaran zaman selama 75 tahun yang bukan sahaja membekalkan sumber tenaga, tetapi juga memastikan perkara itu menepati peredaran semasa.

“Green Building Index, Green Pathway ini semua yang tidak pernah dengar dan difikirkan pengurusan lama.

“Ini adalah tuntutan zaman dan jika mahu Malaysia berjaya kita harus mempunyai keupayaan kecekalan untuk bertindak merubah dengan segera dan berani,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, TNB menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama di negara ini yang bersetuju menaikkan gaji minimum kepada RM1,700.

Menurut Anwar, perkembangan itu menunjukkan syarikat utiliti tersebut bukan sahaja mencatatkan keuntungan dan meraih pengurusan efisien, tetapi mengambil langkah menjaga kebajikan kakitangan.

Menurut beliau, Lembaga Pengarah dan Pengurusan TNB juga bersetuju menaikkan gaji dan pendapatan seluruh warga kerjanya.

“Saya ucap terima kasih pengerusi, lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi TNB kerana bersetuju untuk menjadi GLC pertama menyahut seruan kerajaan, naikkan kadar gaji minimum anggota TNB,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×