SUBANG JAYA: Pulangan mencecah lima kali ganda daripada pasaran tempatan menyebabkan sindiket dadah menjadikan Malaysia sebagai hab transit mengedar bahan terlarang itu kepada negara jiran.
Malah, bekalan dadah yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran menerusi laluan-laluan tikus di pintu sempadan negara dikesan turut diedar bagi pasaran tempatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) , Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, tidak dinafikan sememangnya mempunyai permintaan dadah di negara ini.
Bagaimanapun, kata beliau, kebanyakkan dadah yang dirampas oleh JSJN adalah untuk pasaran luar negara.
“Jadi, kita (JSJN) akan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa yang ada di sempadan bagi memperketatkan kawalan di kawasan-kawasan panas yang menjadi laluan sindiket pengedaran dadah ini,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada satu angka dapat diberikan jumlah sebenar laluan tikus yang ada di negara ini kerana laluan ini sentiasa berubah-ubah bergantung kepada tahap penguatkuasaan di kawasan itu.
“Laluan tikus sentiasa berubah. Di mana ada kelonggaran penguatkuasaan, sindiket ini akan mengambil ruang dan kesempatan untuk membawa masuk bahan terlarang ini.
“Hari ini mungkin kita kata ada 20 laluan tikus dikenal pasti, esok boleh berubah 25 laluan dikesan. Jadi, kita (JSJN) sentiasa melakukan pemantauan berterusan,” jelasnya.