Penduduk rugi besar perabot terendam banjir

Penduduk rugi besar perabot terendam banjir

PENDUDUK membantu membersihkan barangan dihanyutkan banjir yang tersangkut pada sebuah jambatan di Kampung Alor Madi, Anak Bukit di Alor Setar. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tidak hanya letih mengemas dan mencuci rumah, rata-rata penduduk yang berkali-kali dilanda banjir juga runsing memikirkan kerugian dialami berikutan kerosakan perabot dan lain-lain peralatan akibat bencana itu.

Dengan keadaan cuaca tidak menentu selain ramalan air pasang besar yang dijangka berlaku selama tiga hari bermula 18 Oktober ini, mereka masih tidak pasti keadaan yang mungkin akan berlaku selepas ini.

Menurut penduduk Kampung Alor Madi, Mohd Rizal Ramli, 48, setakat ini dia sudah mengalami kerugian kira-kira RM2,000 setelah rumahnya dinaiki banjir sebanyak tiga kali sejak 17 September lalu.

“Banyak barang sudah di­buang antaranya karpet dan almari. Kami juga letih untuk mencuci rumah berkali-kali.

“Bagi barangan termasuk perabot, memang saya ambil keputusan terus letak di tempat tinggi, namun rumah terpaksa juga dicuci bagi mengelak bau busuk akibat lumpur,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kata Mohd Rizal, paling pen­ting baginya adalah keselamatan ibunya, Fatimah Ismail, 85, yang sudah tidak kuat untuk berjalan.

“Ketika ini, saya tempatkan ibu di rumah abang dekat Taman Aman di sini, demi keselesaan dan keselamatannya,” katanya.

Kampung tersebut yang terletak berhampiran Sungai Anak Bukit dinaiki air buat kali ketiga kelmarin setelah hujan lebat selama tiga jam bermula pukul 9 malam.

Takiyuddin Abd. Wahid, 57, pula berharap masyarakat terutama mereka yang tinggal berhampiran Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah di sungai.

“Selepas hujan, biasanya kita dapat melihat sampah-sampah tersangkut di jambatan utama menghubungkan Kampung Alor Madi serta Taman Aman de­ngan laluan utama Anak Bukit. Mujur pihak berwajib sering membersihkannya dan ada juga penduduk menolak sampah-sampah itu menggunakan buluh bagi melancarkan aliran air,” katanya.

Seorang warga emas, Mazni Ahmad, 70, turut bersetuju de­ngan pandangan Takiyuddin dan berharap orang ramai dapat menanam sifat bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan sungai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×