SUBANG JAYA : Penahanan dua lelaki akhirnya membongkar kegiatan penyimpanan dadah dipercayai syabu bernilai RM11 juta di sebuah rumah teres di Bandar Bukit Puchong di sini pada Jumaat lalu.
Bertindak dari maklumat risikan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada mulanya telah menahan seorang lelaki di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga pada pukul 10.50 malam.
Pengarah JSJN, Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 34 tahun itu telah ditahan di kawasan Bandar Baru Sri Petaling di sini.
Kata beliau, dengan berpandu arah lelaki berkenaan, pemeriksaan telah dijalankan di rumah teres teres berkenaan sebelum menemukan 319 bungkusan plastik hijau kekuningan bertulis ‘Guanyinwang’ yang mengandungi dadah jenis syabu.
“Hasil pemeriksaan turut dirampas di rumah berkenaan iaitu alat penimbang bagi menimbang dadah-dadah berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, susulan daripada itu, satu lagi tangkapan telah dilakukan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang sedang memandu kereta jenis Hyundai Sonata di kawasan Jalan Puchong Jaya pada 11.30 malam.
Kata beliau, penahanan lelaki itu yang juga ahli sindiket sama telah dilakukan kira-kira 1 kilometer dari lokasi suspek pertama ditahan.
“Kedua-dua mereka dipercayai berperanan sebagai penghantar atau runner untuk menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mereka.
“Suspek pertama dipercayai telah menerima upah RM5,000 manakala suspek kedua menerima bayaran anggaran RM7,000 kerana dia mempunyai pengalaman sebagai ‘runner’ sebelum ini,” jelasnya.
Beliau menambah, modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menyewa rumah untuk dijadikan stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.
Kok Chin berkata, semakan rekod lampau terhadap kedua-dua suspek mendapati, lelaki pertama mempunyai tiga rekod jenayah manakala rakannya (satu rekod).
“Ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah dan direman selama tujuh hari bermula 26 Oktober lalu sehingga 1 November ini bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah seberat 329.5 kg dadah bernilai RM10.9 juta.
“JSJN juga menyita aset sindiket bernilai RM 70,270 iaitu membabitkan dua jenis kereta (RM60,000) dan barangan kemas RM10,270.
“Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 1.65 juta penagih,” katanya.