SEREMBAN: Keenakan pencuci mulut tradisional kunafa, berasal dari Asia Barat dan tular dalam kalangan masyarakat negara ini, mendorong seorang pengusaha manisan untuk menjualnya sempena perayaan Deepavali.
Peniaga tersebut, P. Maheswary, 49, berkata, dia menjual kunafa bersama pelbagai manisan tradisional masyarakat India di Karnival Deepavali Negeri Sembilan 2024 di Jalan Lee Fong Yee di sini.
“Selalunya manisan tradisional seperti ladu, chittu urundai, jalebi dan athirasam mendapat permintaan masyarakat India setiap kali perayaan, tapi kali ini saya tampilkan kelainan dengan menjual kunafa.
“Tidak sangka sambutan manisan kunafa ini diterima baik, malah penggemarnya sanggup menunggu dan beratur panjang sebaik sahaja kami mula beroperasi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, dia mempelajari penghasilan manisan itu menerusi media sosial.
“Setiap manisan yang dibuat menggunakan bahan berkualiti termasuk kunafa ini. Terdapat tiga perisa kunafa iaitu coklat putih, kacang pistasio dan coklat berharga RM25 semangkuk.
“Perasa kacang pistasio dan coklat antara paling laris jualannya. Dalam satu malam sahaja saya dapat menjual kira-kira 100 mangkuk,” katanya. – UTUSAN











