KPKT yakin jualan sektor hartanah cecah RM200b hujung tahun ini

KPKT yakin jualan sektor hartanah cecah RM200b hujung tahun ini

NGA Kor Ming (kiri) ketika meninjau ilustrasi Projek Ideal Residency di Gelugor, Pulau Pinang hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yakin jualan sektor hartanah tempatan akan mencecah RM200 bilion menjelang hujung tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, keyakinan ini berdasarkan jumlah jualan sektor hartanah dalam negara telah mencapai RM115 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Sektor hartanah terus berkembang dengan sihat dan sukacita dimaklumkan, pada Januari tahun ini, KPKT telah tetapkan jumlah sasaran jualan sektor hartanah iaitu sebanyak RM100 bilion.

“Pada masa yang sama, kita berasa amat bersyukur kerana dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, tahap KPI (indeks prestasi utama) telah berjaya dicapai.

“Jika segala-galanya berjalan lancar juga, kita akan capai jumlah jualan (sektor hartanah) bernilai hampir RM200 bilion menjelang hujung tahun ini,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan kunci Residensi Bukit Gelugor (Ideal Residency) kepada para pembeli di sini hari ini.

Menurut Kor Ming, jumlah jualan sektor hartanah yang meningkat akan merancakkan lagi ekonomi selain memberi impak positif kepada 200 industri lain yang berkait rapat dengan sektor hartanah itu termasuk bidang kontraktor, subkontraktor, perabot, elektrik, perbankan, perundangan dan lain-lain.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, sebanyak 18 daripada 24 projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ atau bermasalah di seluruh negara sebelum ini telah berjaya diselesaikan sejak kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Katanya, selain itu, terdapat enam lagi projek PR1MA iaitu masing-masing dua di Melaka dan Kedah serta satu projek di Kelantan dan Negeri Sembilan dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

“Projek sakit ini dulu, bukan sekarang. Yang diwarisi oleh saya, oleh PR1MA adalah 24 projek. Sekarang tinggal enam sahaja saja, dan saya yakin ia akan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini,” kata beliau yang akan memastikan kesemua ‘projek sakit’ itu akan dipulihkan.

Tambah Kor Ming, setakat Ogos lalu, PR1MA terlibat dengan 88 projek secara keseluruhannya iaitu bersamaan dengan 54,137 unit di seluruh negara yang melibatkan pelbagai fasa pembangunan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 61 projek yang terdiri daripada 41,321 unit telah berjaya disiapkan manakala baki 27 projek yang terdiri daripada 12,816 unit lagi masih dalam fasa pembinaan dan perancangan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN