KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah membincangkan cadangan untuk mengenakan cukai langganan ChatGPT seperti yang diperkatakan dalam media sosial.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebarang cadangan untuk memperkenalkan cukai baharu perlu dibawa ke Parlimen dan tidak hanya dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri.
“Setakat ini, kita tidak membincang perkara ini, sama ada dalam kalangan Jemaah Menteri atau menteri-menteri lain.
“Tiada perbincangan mengenai cadangan untuk mengenakan cukai (ChatGPT).
“Kita juga tak dengar perkara itu dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, jadi bagi saya, perkara itu tidak boleh dilayan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Rumah Terbuka Deepavali Madani di Sentul Depot di sini, hari ini.
Majlis sambutan yang dianjurkan Kementerian Digital itu, dihadiri Anwar, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri kabinet dan timbalan menteri.