Jeti atau terminal Kuala Perlis yang mula beroperasi sekitar tahun 1993 antara nadi Perlis kerana menjadi tumpuan pengunjung dari seluruh negara yang mahu menggunakan perkhidmatan feri untuk ke Pulau Langkawi, Kedah.
Setiap hari terutamanya ketika cuti hujung minggu dan cuti sekolah, ribuan pengguna berpusu-pusu menunggu giliran untuk menaiki feri di Kuala Perlis menuju ke pulau legenda itu sekali gus merancakkan ekonomi penduduk setempat sekitar jeti.
Pada awal operasi Jeti Kuala Perlis tiada masalah dengan kekerapan perjalanan sehingga 10 trip sehari bermula dari pukul 7 pagi sehingga 7 malam bagi perjalanan sehala.
Namun sejak kebelakangan ini, isu alur pelayaran cetek disebabkan mendapan lumpur dan beting pasir ‘mengganggu’ tawaran perkhidmatan feri.
Kemerosotan terminal tersebut secara perlahan-lahan memberi kesan bukan sahaja kepada operator feri tetapi turut menjejaskan aktiviti sekitar seperti perniagaan dan pelancongan negeri ini.
Biarpun kerja-kerja pengerukan selesai pada September tahun lalu, namun usaha tersebut hanya bertahan empat bulan sebelum isu sama membelenggu semula perkhidmatan feri malah kini didakwa semakin ‘nazak’.
Bermula 2003 hingga 2022, sejumlah RM101.1 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja pengerukan di muara Kuala Perlis bagi mengatasi isu alur pelayaran cetek.
MENDAPAN LUMPUR
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn. Bhd., Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, isu mendapan lumpur di alur pelayaran Kuala Perlis menyebabkan perkhidmatan feri tidak boleh beroperasi dengan kekerapan seperti sebelum pandemik Covid-19.

Menurut beliau, masalah tersebut menyaksikan kekerapan feri berkurang kepada lima perjalanan sehari berbanding 10 trip sebelum ini.
“Malah, jika alur pelayaran cetek, waktu perjalanan juga akan ditetapkan setiap jam bergantung kepada keupayaan terminal menerima jumlah feri dengan paras air laut 1.4 meter ke atas,” katanya.
Kata Baharin, isu beting pasir turut menjadi ancaman kepada keselamatan pelayaran di perairan Kuala Perlis malah seramai 567 pengguna feri pernah terkandas hampir enam jam pada 16 September lalu.
Menurutnya, kejadian terkandas di beting pasir Kuala Perlis itu merupakan insiden kali kedua selepas insiden pada 20 Jun 2018 dengan melibatkan seramai 432 penumpang.
“Apabila feri terkandas, konsortium menghadapi cabaran menghantar bekalan minuman, makanan atau memindahkan penumpang ke feri lain.
“Ini disebabkan feri lain tidak dapat merapat ke terminal atas faktor air mulai surut dan bahaya beting pasir,” katanya.
Kata Baharin, pihak konsortium berharap kerja-kerja pengerukan semula alur pelayaran di Kuala Perlis dapat dilaksanakan segera memandangkan kontraktor terlibat dikatakan telah dilantik oleh Kementerian Pengangkutan.
Katanya, perkara ini menjadi kegusaran berikutan kerja-kerja pengerukan tersebut bakal mengambil masa setahun untuk dilaksanakan.
“Jika kerja-kerja itu bermula pada November atau Disember, ia dibimbangi akan mengganggu penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) pada Mei tahun depan.
“Untuk LIMA, kami selalunya boleh membawa 25,000 penumpang keluar masuk dalam sehari dan jika kerja pengerukan itu lewat dilaksanakan, ia dibimbangi akan mengganggu operasi perkhidmatan feri,” katanya.
Sementara itu, masalah alur pelayaran cetek berhampiran terminal feri perlu diatasi bagi mengembalikan keyakinan pelancong bercuti ke Pulau Langkawi. Trend kemasukan pelancong dibimbangi merosot apabila operator mengehadkan jadual perjalanan harian feri.
Seorang ejen pelancongan di Kuala Perlis, Faizol Abidin berkata, masalah alur pelayaran cetek yang sering kali berlaku boleh diatasi dengan pembinaan struktur tambahan iaitu jambatan pejalan kaki sepert di terminal feri penumpang di Kuah, Langkawi.
PONTUN TERAPUNG
Katanya, jambatan pejalan kaki dari terminal di sini boleh dibina sehingga ke satu platform atau pontun terapung seperti di Pulau Langkawi.

“Jika pembinaan itu dapat dibuat, masalah kekurangan perkhidmatan feri dan alur pelayaran cetek boleh diatasi,” katanya.
Kata Faizol, kerja-kerja pengerukan sebelum ini satu pembaziran kerana isu sama berulang sehingga kini.
“Pengerukan bukan penyelesaian terhadap isu alur pelayaran cetek dan sewajarnya pembinaan jambatan pejalan kaki itu dipertimbangkan bagi mengelakkan kerugian lebih besar pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi ejen pelancongan, Azrul Ani, 50, berkata, sekiranya terminal itu dipindahkan ke lokasi lain, kawasan Kuala Perlis dibimbangi akan menjadi suram dan menjejaskan ekonomi penduduk setempat.
Katanya, isu alur pelayaran cetek itu perlu mendapat perhatian sewajarnya bagi membolehkan pelancong mendapat perkhidmatan terbaik.
“Sebelum ini, kekerapan trip untuk ke Pulau Langkawi adalah sejam sekali namun jumlah itu berkurangan mendadak disebabkan masalah mendapan yang menyebabkan alur pelayaran cetek.
“Langkah lebih praktikal perlu dilaksanakan dalam mengatasi isu ini yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.
PULIH
Dalam pada itu, seorang peniaga gerai yang dikenali sebagai Mohd. Noor berkata, sekiranya perkhidmatan feri kembali pulih, sektor pelancong Pulau Langkawi akan rancak semula.
Katanya, situasi tersebut turut memberi limpahan kepada peniaga-peniaga berhampiran kawasan terminal bagi meraih keuntungan jualan harian.
“Dulu sebelum pandemik khususnya, saya mampu raih RM1,000 sehari namun kini mahu dapat RM200 sehari susah. Jika kekerapan perkhidmatan feri boleh dikembalikan, pasti ramai pelancong datang ke sini sekali gus memberi limpahan rezeki kepada peniaga sekitar,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Awam negeri, Izizam Ibrahim berkata, kerja-kerja pengerukan yang dilakukan kerajaan Persekutuan tidak praktikal dan membazir wang rakyat.
“Sudah-sudahlah membazir wang rakyat dan kita kena cari alternatif dalam menyelesaikan permasalahan yang sering membelenggu perkhidmatan feri di Kuala Perlis,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri akan mengkaji dan melihat beberapa cadangan lain yang bersesuaian dalam menyelesaikan masalah itu.
“Terdapat beberapa cadangan dalam peringkat kajian antaranya memindahkan Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis ke Jeti Bersepadu Sanglang (SIJ), namun perkara ini akan diteliti terlebih dahulu.
CADANGAN
“Malah, ada juga cadangan agar dilaksanakan pembinaan jambatan pejalan kaki dari Terminal Feri Kuala Perlis sehingga ke satu platform atau pontun terapung seperti mana di Pulau Langkawi,” katanya.
Selain itu, menurut beliau, kerajaan negeri juga akan melihat impak terhadap pekan Kuala Perlis sekiranya terminal feri itu dipindahkan berikutan dibimbangi kawasan itu akan kurang tumpuan pengunjung selepas ini.
Katanya, sekiranya terminal penumpang itu dipindahkan, perkhidmatan feri roll-on roll-off (RORO) di sana akan masih beroperasi seperti biasa bagi membawa penumpang ke Pulau Langkawi.
“Malah, ada juga cadangan agar dibuka jeti untuk perkhidmatan feri RORO dari Kuala Perlis- Tammalang, Thailand sekiranya terminal feri penumpang itu dipindah.
“Bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat cadangan dan kami akan menjalankan perbincangan lanjut berhubung pelaksanaan ini,” katanya.
Kata beliau, kerajaan negeri dan Persekutuan perlu menjalinkan kerjasama erat dalam mengatasi masalah itu bagi memastikan penyelesaian yang lebih praktikal dapat dilaksanakan.
“Kerajaan negeri juga ada peranan, jadi jangan ketepikan kami. Dan saya harap selepas ini, kedua-dua pihak dapat bekerjasama erat dalam memberikan cadangan terbaik dalam penyelesaian isu ini. Kalau boleh, sebelum dibuat sebarang pelaksanaan itu, rujuklah kami dahulu di peringkat negeri agar tidak berlaku pembaziran seperti mana kerja pengerukan,” katanya. – UTUSAN










