Israel rancang hapus sistem kesihatan Gaza

Israel rancang hapus sistem kesihatan Gaza

KEADAAN bangunan Hospital al-Shifa yang musnah akibat serangan ganas Israel di Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan Israel melaksanakan dasar terancang untuk memusnahkan sistem penjagaan kesihatan Gaza semasa perangnya di wilayah itu.

Bekas Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Navi Pillay dalam kenyataan bersama laporan itu, menuduh Israel melakukan serangan tanpa henti dan disengajakan terhadap kakitangan perubatan serta fasiliti kesihatan semasa perang tersebut.

“Kanak-kanak khususnya menanggung beban serangan ini, menderita secara langsung dan tidak langsung akibat keruntuhan sistem kesihatan,” katanya.

Perkara itu dinyatakan Pillay dalam laporan 24 muka surat merangkumi 10 bulan pertama perang dan akan dibentangkan kepada Perhimpunan Agung PBB pada 30 Oktober ini.

Laporan siasatan PBB juga menuduh tentera Israel dengan sengaja membunuh dan menyeksa kakitangan perubatan, menyasarkan ambulans dan menyekat permit untuk pesakit meninggalkan Gaza.

Ia merujuk kematian seorang gadis Palestin, Hind Rajab pada Februari lalu bersama ahli keluarga dan dua pegawai perubatan yang datang untuk menyelamatkannya daripada serangan Israel ketika mereka berpindah.

Laporan itu menyebut, ambulans terbabit terkena peluru kereta kebal dalam jarak 50 meter walaupun laluannya diselaraskan terlebih dahulu dengan pasukan keselamatan Israel.

Sebelum ini, Israel mendakwa pejuang Palestin beroperasi di kawasan berpenduduk padat seperti rumah, sekolah dan hospital, menyebabkan rejim melancarkan serangan di sasaran berkenaan.

Bagaimanapun, Hamas menafikan tuduhan itu dan menegaskan pejuangnya tidak menyembunyikan senjata atau beroperasi di kawasan tumpuan orang awam.- REUTERS

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN