Iran gesa AS, sekutu tinggalkan Asia Barat

Iran gesa AS, sekutu tinggalkan Asia Barat

AYATOLLAH Ali Khamenei berucap pada perhimpunan pelajar dan saintis di Teheran kelmarin.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menggesa Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya meninggalkan Asia Barat, ketika Teheran bersiap sedia berdepan kemungkinan serangan Israel terhadap tapak nuklearnya.

Khamenei membuat penampilan pertamanya di khalayak ramai kelmarin, sejak mengarahkan serangan peluru berpandu berisiko tinggi ke Israel sebagai tindak balas kepada serangan rejim terhadap pemimpin Hezbollah.

“Iran masih berkabung atas pembunuhan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah, tetapi itu tidak bermakna kami tertekan dan hanya duduk berdiam diri,” katanya dalam pertemuan dengan pelajar dan saintis di Teheran, kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Serangan Iran turut disokong elit politik negara itu yang sebelum ini berpecah-belah kerana menyifatkan serangan ke Israel tidak dapat dielakkan untuk memulihkan kedaulatan Iran.

Menteri Luar, Abbas Araghchi membuat seruan diplomatik termasuk kepada menteri luar Eropah, menegaskan Iran tidak mahu mencetuskan konflik baharu dan sasaran mereka adalah tentera, bukan orang awam seperti dilakukan Israel di Lubnan.

Menteri pertahanan Iran, Aziz Nasirzadeh turut menggesa Eropah untuk membendung Israel daripada meneruskan keganasan di Lubnan atau berdepan tindak balas yang boleh mengheret Asia Barat memasuki perang besar.

Pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di New York, Iran dijangka mempertahankan tindakannya selaras dengan Piagam PBB.

Ketua Kakitangan Am Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Bagher berkata, peluru berpandu itu menyasarkan pangkalan udara Israel, termasuk pangkalan Nevatim yang menempatkan pesawat F35 serta ibu pejabat Mossad.

Sementara itu, Menteri Strategik, Javad Zarif yang paling enggan menyokong tindak balas tentera, bagaimanapun tidak berbelah bahagi dalam menyokong serangan itu.

“Kemunafikan Barat bukan sahaja keterlaluan, tetapi amat berbahaya. Negara-negara Barat membantu dan bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza dan akur dalam pencerobohan Israel terhadap Iran, Palestin, Lubnan, Syria, Yaman dan negara-negara lain di rantau ini.

“Iran mempunyai hak untuk mempertahankan diri terhadap serangan bersenjata Israel yang berulang kali terhadap wilayah Iran dan rakyatnya. Israel dan sekutunya perlu bertanggungjawab terhadap semua akibat daripada provokasi berterusan Israel,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×