Harap ‘pengorbanan’ saya berbaloi - Wan Saiful

Harap ‘pengorbanan’ saya berbaloi – Wan Saiful

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berharap ‘pengorbanannya’ untuk tidak bertanding jawatan Naib Presiden adalah berbaloi demi survival parti dan Perikatan Nasional (PN). 

Beliau berkata, ini kerana peranan yang dipikul Naib Presiden parti amat penting khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) serta selaras dengan kehendak rakyat yang ingin melihat PN kekal relevan pada masa akan datang. 

“Memang pada mulanya saya mempertimbangkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden. Saya merasakan ada peranan yang saya boleh sumbang untuk kekuatan parti. Namun, saya akur dengan arahan Presiden, jadi saya bertanding di peringkat MPT sahaja. 

“Saya fikir, saya masih mampu untuk sumbangkan idea walaupun tidak berada di barisan Naib Presiden. Kali ini saya harap akan sekali lagi dapat menyumbangkan kepakaran dalam membantu kerja kerja penerangan dan kempen parti. 

“Saya yakin ahli-ahli Bersatu akan memilih dengan bijak supaya saf kepimpinan Bersatu boleh dilihat sebagai saf yang meyakinkan rakyat bahawa kita boleh memimpin negara,” katanya ketika di hubungi Mingguan Malaysia, semalam. 

Pada pemilihan kali ini, Wan Saiful bertanding jawatan MPT bersama 80 calon lain bagi merebut tempat 20 teratas. 

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, peranan pemimpin yang menang pada Pemilihan Bersatu 2024-2027 juga sudah pasti perlu menjadi semak dan imbang kepada setiap perkara yang diputuskan. 

“Perkara ini memerlukan pasukan yang mantap untuk melaksanakan usaha-usaha yang tersusun di bawah kepimpinan dan bimbingan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden Bersatu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN