Gaza: Setahun keganasan tanpa noktah

Gaza: Setahun keganasan tanpa noktah

SEORANG kanak-kanak perempuan berdiri di depan bangunan sekolah yang runtuh akibat bedilan tentera Israel di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, Palestin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Protes dan bantahan berlangsung hampir di seluruh dunia bagi menzahirkan solidariti berterusan kepada rakyat Palestin ekoran genap setahun Israel melancarkan operasi ketenteraan di Gaza.

Serangan dahsyat Israel sejak 7 Oktober 2023 menjadi detik hitam buat rakyat Pa­lestin yang berjuang selama berdekad untuk mengembalikan hak kedaulatan tanah air mereka.

Hampir serta-merta, Israel bertindak balas dengan melancarkan satu daripada kempen pengeboman paling dahsyat dalam sejarah ke atas Gaza dan mengepung sepenuhnya kawasan itu.

Bulan-bulan berikutnya, masyarakat global menyaksikan pencerobohan darat berulang kali, pengeboman berterusan dan sekatan terhadap bantuan dan barangan komersial untuk memasuki wilayah terkepung itu.

Satu-satunya jeda singkat dalam perang itu dirundingkan pada penghujung November tahun lalu untuk membolehkan Hamas membebaskan 110 tebusan sebagai pertukaran untuk 240 tahanan Palestin, dan menyaksikan Israel membenarkan seketika lebih banyak bantuan ke Gaza.

KEDEGILAN NETANYAHU

Setelah itu, serangan berterusan tanpa henti dengan rundingan gencatan senjata berulang kali bertemu jalan buntu, sebahagian besarnya disebabkan oleh desakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk mencapai ‘kemenangan total terhadap Hamas’.

Netanyahu juga mencadangkan kerajaan awam yang komited untuk hidup bersama secara aman harus mengendalikan wilayah itu selepas perang, tetapi sehingga kini tidak pula menjelaskan siapa yang layak atau bagaimana ia akan dibentuk.

Kegagalan menyelesaikan persoalan politik di Gaza terutamanya tentang siapa yang akan mentadbir wilayah itu, menyediakan keselamatan dan bertanggungjawab membina semula perkhidmatan menyebabkan rakyat Palestin di Gaza makin tertekan.

Pencerobohan dan pengeboman Israel memusnahkan kebanyakan infrastruktur dan perumahan kritikal wilayah itu dan Netanyahu memberitahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu bahawa tenteranya sudah memusnahkan semua kecuali satu batalion terancang Hamas.

Beberapa penganalisis Asia Barat berpendapat, kumpulan pejuang itu kini sangat lemah, tetapi masih aktif dan terus menjalankan kempen perang gerila.

Walaupun tidak lagi memerintah, Hamas masih merupakan kumpulan berkuasa yang mampu menyerang Israel dan menggunakan beberapa kuasa ke atas penduduk Gaza.

Disokong oleh ideologi yang kuat, usaha menghapuskan sepenuhnya kumpulan itu juga terbukti mustahil.

PADANG JARAK PADANG TEKUKUR

Sehingga ke saat ini, peperangan di Gaza masih tiada titik noktah, dengan 41,825 penduduk Palestin terkorban termasuk nyawa 16,000 kanak-kanak tidak berdosa yang diragut kejam.

Menurut pihak berkuasa, hampir 100,000 orang lagi cedera dan lebih 10,000 lagi masih hilang namun dianggap sudah meninggal dunia dibawah runtuhan.

Kira-kira 1.9 juta orang atau 90 peratus penduduk dipindahkan secara paksa dari rumah mereka berkali-kali dan hampir setengah juta orang menghadapi bencana kebuluran selepas infrastruktur kritikal, perumahan, ekonomi, tanah ladang dan armada perikanan Gaza musnah sepenuhnya.

Keseluruhan kemusnahan itu mendorong pelbagai amaran daripada PBB dan kumpulan pemantau lain bahawa tindakan Israel menyebabkan Gaza sudah tidak layak didiami manusia.

Setahun berlalu, persoalan yang terus berlegar adalah bagaimana perang Israel akan berakhir dan apa yang ditinggalkan apabila ia tamat.

Dunia juga semakin gusar apabila kekejaman genosid yang melampaui batas kemanusiaan ini semakin berlanjutan ke negara serantau berikutan peningkatan baharu antara Israel, Hezbollah dan Iran.

“Saya tidak pasti bila kekejaman ini akan berakhir. Pada ketika ini, kita tidak boleh bercakap hanya tentang perang di Gaza, tetapi kita perlu melihat perkembangan perang dengan Hezbollah, perang di Tebing Barat dan sudah tentu Iran dan proksinya.

“Semua ini menjadikan prospek gencatan senjata di Gaza semakin kabur dan hampir tidak mungkin dapat dicapai dalam tempoh terdekat,” kata Penganalisis Kanan Israel-Palestin International Crisis Group, Mairav ​​Zonszein.

Jelasnya, perang Gaza mungkin tidak akan berakhir dengan mudah kerana konflik yang berterusan ini dicipta untuk memenuhi tujuan politik beberapa pemimpin Israel dan Hamas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×