Cukai gula: Peniaga kuih terpaksa naik harga

Cukai gula: Peniaga kuih terpaksa naik harga

PELANGGAN membeli kuih-muih di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Peniaga kuih dan minuman di negeri ini me­ngakui terbeban dengan langkah kerajaan menaikan kadar duti eksais gula tahun hadapan sebagaimana diumumkan Kerajaan dalam Belanjawan 2025.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nazahiah Abdul Wahab, 50, berkata, kenaikan itu akan memberikan kesan kepadanya selepas berdepan kenaikan bahan mentah seperti tepung gandum dan telur sebelum ini.

“Gula merupakan antara komponen utama dalam menghasil kuih, jadi bila kerajaan laksanakan perkara itu nanti, berkemungkinan besar kami peniaga terpaksa menaikan harga.

“Bila naik sudah pasti jualan kami akan merosot. Ada pelanggan mula mengeluh dengan kenaikan harga kuih ketika ini sekali gus menjejaskan pendapatan kami,” katanya.

Bagi Mohd. Amirin Razak, 35, pula, dia tidak menolak kemungkinan harga kuih taik itik dan buah tanjung yang dijual ketika ini akan mengalami kenaikan harga susulan pelaksanaan cukai baharu gula.

Katanya, ketika ini kuih buah tanjung dijual RM5 untuk 15 biji, manakala kuih tahi itik RM5 untuk enam biji.

“Kuih yang saya jual ini diambil dengan seorang pembekal dan membelinya dengan cara timbangan.

“Tidak mustahil harga kuih ini akan terus meningkat apabila kerajaan menaikkan cukai gula nanti,” ujarnya.

Sementara itu, peniaga minuman, Mohd. Amin Hassan, 62, berkata, dia tidak mempunyai pilihan kecuali terpaksa menaikan harga minuman selepas ini.

“Sebagai peniaga minuman, sudah tentu terkesan dengan pelaksanaan cukai gula,” katanya.

Kerajaan mengumumkan perang terhadap gula (war on sugar) dengan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar yang dikenakan adalah 40 sen seliter sebagai usaha selepas Malaysia menjadi antara negara paling obesiti di rantau Asia Tenggara dan gula adalah salah satu musuh utama penyakit tidak berjangkit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN