PETALING JAYA: Tiga kriteria utama akan menjadi pertimbangan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam mencari alternatif sekiranya kontrak sewaan empat helikopter UH-60A Black Hawk dibatalkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, tiga kriteria itu ialah mampu membekalkan helikopter dalam tempoh singkat untuk kegunaan TDM dan kadar sewaan adalah mengikut nilai kontrak yang sama sebagaimana kontrak sewaan Black Hawk.
Selain itu, menurut beliau, helikopter yang mahu dibekalkan kepada TDM juga perlu mengikut spesifikasi ketenteraan berlandaskan dokumen Keperluan Staf Am (Kesam) Tentera Darat.
“Sekiranya kontrak sewaan Black Hawk dibatalkan, kita telah diarah untuk memikir dan mencadangkan alternatif bagi mendapatkan perkhidmatan pesawat helikopter untuk kegunaan latihan dan operasi semasa.
“Walau apa pun, resolusinya, tiga kriteria itu perlu diutamakan,” katanya semalam.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kontrak sewaan empat helikopter UH-60A Black Hawk kepada TDM mungkin terbatal sekiranya semua helikopter berkenaan gagal dihantar sehingga 30 Oktober ini.
Selain Black Hawk, antara helikopter yang disebut-sebut mampu memenuhi spesifikasi TDM setakat ini ialah helikopter AW139.
Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain berkata, TDM berdepan cabaran besar buat masa ini bagi menggantikan kontrak sewaan empat helikopter UH-60A sekiranya dibatalkan.
“Cabaran kita sekarang adalah mendapatkan pihak yang bersedia dan sanggup untuk menyewakan pesawat medium utility (utiliti sederhana) dalam tempoh singkat demi keperluan tugas latihan dan operasi,” jelasnya. – UTUSAN










