KUALA TERENGGANU: Diinspirasikan daripada pengalamannya bercuti di Bali, Indonesia dan Krabi, Thailand, seorang lelaki menjadikan perniagaan sewaan motosikal serta basikal sebagai punca pendapatan tetap sejak tiga tahun lalu.
Safarwan Bahrin, 44, berkata, dia berhenti kerja sebagai pembantu peguam di sebuah firma guaman pada 2021 dan bermula dengan dua buah motosikal dan sebuah basikal berdekatan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini.
Menurutnya, dia menerima sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada pelancong domestik bahkan pelancong antarabangsa ketika aktiviti pelancongan kembali rancak pasca Covid-19.
Katanya, dia kini mempunyai enam buah motosikal, tiga buah basikal dan 10 unit papan luncur yang turut mendapat permintaan ketika musim monsun.
“Idea ini timbul kerana saya mendapati sangat mudah untuk mendapatkan motosikal atau basikal sewa setiap kali melancong ke Indonesia dan Thailand, jadi saya cuba bawa konsep itu di Kuala Terengganu.
“Majoriti pelanggan saya adalah pelancong dari Eropah seperti Perancis, Jerman dan Belanda selain pelancong Jepun yang gemar berbasikal untuk melawat tempat-tempat menarik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Safarwan menawarkan sewaan motosikal bermula harga RM35 sehingga RM120 sehari bergantung model motosikal manakala RM25 sehari untuk basikal. – UTUSAN










